Sejak semalam telah viral di media sosial Twitter mengenai dakwaan seorang influencer Vietnam yang dikenali sebagai Jade, di mana beliau telah meluah rasa kesal dan kecewa apabila babak melibatkan dirinya di dalam sebuah video muzik telah dipotong dan ditapis gara-gara isteri vokalis itu begitu cemburu menonton babak-babak dalam MV berkenaan.
“Kisah ini masih kedengaran lucu kerana saya ke Malaysia untuk membintangi satu muzik video tapi ia tidak jadi ditayangkan.
“Saya difahamkan isteri kepada vokalis utama kumpulan itu cemburu (dengan babak-babak dalam MV tersebut),”
– Jade
Walaupun Jade tidak menyatakan nama vokalis dan isterinya, namun warga Twitter mengaitkan bebenang ditulis model kacukan Jerman – Vietnam itu ditujukan kepada Akim dan Stacy.
Menerusi bebenang tersebut Jade yang juga seorang model itu berkata, dia terkejut apabila pihak produksi memberitahu semua babak melibat dirinya terpaksa dibuang kerana isteri vokalis tersebut tidak menyukainya.
Menyedari ciapan tersebut ditujukan kepadanya, Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, 30, kemudiannya tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut. Menurut Akim, tindakan pihaknya menapis beberapa babak yang menampilkan wanita terbabit kerana mahu menjaga sensitiviti masyarakat. Akim berkata lagu Rampas didedikasikan khas buat allahyarham ibunya dan berasakan muzik video tersebut tidak sesuai untuk dikeluarkan.
“Rampas tu, tulisan khas atas pemergian orang yang paling aku sayang, ibu aku. Dengan MV yang pada aku agak sensitif dan keterlaluan, aku rasa tak sesuai untuk aku keluarkan. Jadi aku ambik keputusan untuk tukar semua konsep MV kepada yang boleh ditonton untuk semua.
“Termasuk keluarga aku anak-anak aku, cikgu aku, kawan ayah aku, kawan ibu aku, kawan-kawan aku, sebab aku masih berpegang pada adat dan budaya timur aku, sebab aku…. Anak Ahmad….
“Aku dah kehilangan ibu aku, kalau aku keluarkan MV yang keterlaluan pada pandangan mata orang asia macam aku ni, apa pulak pandangan kekecewaan yang akan aku dapat dari ayah aku? Aku tak nak kecewakan ayah dan keluarga,” jelas Akim.
Akim mengakui jalan cerita untuk muzik video tersebut memang sudah diberitahu sebelum penggambaran tetapi selepas diedit dia mendapati jalan cerita tidak sesuai dengan maksud lagu.
“Iye betul, tapi jalan cerita MV tu yang diberitahu masa hari penggambaran MV tu. Jadi bila dah edit, rasa tak kena jalan cerita dengan maksud lagu. Jadi aku mintaklah untuk keluarkan scene-scene yang tak kena,” tulis Akim menjawab pertanyaan seorang warga Twitter.
Dalam pada itu Akim turut berang kerana kontroversi ini berlaku pada hari ulang tahun perkahwinannya.
Tambah Akim lagi, jalan cerita muzik video Rampas juga sudah dibincang tetapi kononnya atas nama ‘seni’ idea yang dirasakan kurang sesuai itu tetap diteruskan pihak tertentu (tidak dinyatakan).
Penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan Stacy, 31, pada 5 Februari 2016. Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan termasuk seorang anak angkat iaitu, Bella De Luna Valentina, 9, dan Eshaal yang kini berusia empat tahun.
Untuk rekod, ibu Akim meninggal dunia pada 5 Mei 2018 akibat komplikasi buah pinggang. MV Rampas dilancarkan di saluran YouTube pada 7 September tahun yang sama dan kini mencatat lebih 12 juta tontonan.