Itu penjelasan pelawak, Ali Puteh ketika dihubungi dan diminta mengulas mengenai saman yang difailkan terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali yang juga balu kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey.
Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, berkata, dia menerima maklum balas daripada Hidayah semalam, yang juga hari terakhir untuk kakak iparnya itu menjawab saman yang difailkan selepas Aidiladha lalu.
“Semalam adalah hari terakhir untuk pihak Hidayah memberikan maklum balas.
“Sebelum ini, mungkin ramai yang tak tahu dia pernah memfailkan saman terhadap saya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.
“Saman yang dibuat oleh Hidayah itu antaranya menuduh saya mengambil harta abang saya dan harta anak yatim.
“Jadi, selepas berdiam diri selama beberapa bulan, dah tiba masanya untuk saya pula mengatur langkah demi membersihkan nama keluarga,”
– Ali Puteh
Diminta berkongsi lebih lanjut mengenai saman yang difailkan Hidayah sebelum ini, Ali berkata, dia ada menerima beberapa surat saman bermula sejak 16 hari selepas Allahyarham Abam meninggal dunia.
“Arwah abang saya meninggal pada 10 Februari dan pada 26 Februari pula, saya menerima surat saman pertama.
“Pada ketika itu, kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah.
“Saya nak bersuara, tapi mak melarang. Katanya, abang baru saja meninggal dunia. Jadi, saya akur dengan permintaan mak saya.
“Selepas dua ke tiga bulan kemudian, bertalu-talu surat saman daripadanya sampai ke rumah dan pada ketika itu, terdetik dalam hati saya yang dia memang benar-benar nak ke mahkamah.
“Jadi, saya pun berbincang dengan peguam saya,” katanya.
– Ali Puteh
Menurut Ali, antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
“Ada satu tuduhannya mengatakan bahawa saya mengambil wang abang saya dari dalam rumah dan mengambil jam-jam tangan.
“Itu adalah tuduhan yang tak berasas dan bersifat fitnah,” katanya.
– Ali Puteh
Berkongsi mengenai pengakuan yang dibuat oleh Hidayah menerusi peguamnya, dia mengaku mengeluarkan wang berjumlah RM10,000 dari akaun bank Abam dan mengambil empat jam tangan milik arwah.
“Sebelum ini, dia pernah keluarkan kenyataan kononnya dia dihalau dari rumah sehelai sepinggang dan keluarga kami merebut semua wang milik arwah abang saya.
“Jadi, bila saya nak uruskan urusan faraid, pihak bank memaklumkan mengenai wang RM10,000 yang dikeluarkan.
“Di situ, saya dah ada satu bukti dan akhirnya, dia sendiri yang mengaku mengambil wang itu untuk dipindahkan ke akaun anaknya dan juga mengambil jam tangan berjenama milik arwah,” katanya.
– Ali Puteh
Tambah Ali, tidak menjadi masalah sekiranya Hidayah mengaku dari awal mengenai pengeluaran wang yang dibuatnya.
“Dalam faraid itu, memang sah-sah ada bahagian untuk dia dan anak. Buat apa, saya nak ambil sedangkan bukan ada hak saya pun.
“Lagi satu, kalau dia maklumkan yang dia ada buat pengeluaran, semuanya boleh disusun semula mengikut bahagian masing-masing.
“Bayangkan, abang saya meninggal dunia dan dikebumikan selepas Maghrib dan pada tengah hari keesokan harinya, RM10,000 dah dipindah keluar dari akaun sedangkan kami sekeluarga masih berada di rumah.
“Alasannya, takut kami rebut wang yang ada dalam akaun itu. Saya ada duit sendiri dan tak mahu pun wang arwah abang saya,” katanya.
– Ali Puteh
Menutup perbualan, Ali tidak berniat untuk membuka aib, sebaliknya membersihkan namanya dan keluarga selepas dikecam masyarakat.
“Dia berniaga cempedak goreng, dia beritahu media. Saya pasang batu nisan kat kubur abang saya pun, dijadikan isu.
“Bila dia mengaku, kenapa tak dihebahkan pula kan?
“Saya nak bersihkan nama saya dan keluarga kerana isu-isu macam inilah nama kami sekeluarga terpalit kontroversi,”
– Ali Puteh
Terdahulu, sebutan kes saman difailkan Ali terhadap Hidayah berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Saman itu dikeluarkan Ali selaku plaintif keempat bersama ibunya, Sabariah Arshad (plaintif pertama), bapa Syed Mohd Ridzuan (plaintif kedua) dan kakak sulung, Sharifah Norwahidah (plaintif ketiga).
Sementara itu, Hidayah ketika dihubungi menjelaskan dia sibuk berniaga.
“Alhamdulillah, saya sihat. Cuma sibuk sikit berniaga.
“Mengenai perkara itu, buat masa sekarang ini, saya nak diamkan diri dulu. Nanti akan tahu juga perkara yang sebenar,”
– Hidayah
Abam dan Hidayah diijabkalbulkan pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun dua bulan.
Sumber: Harian Metro