Dibawakan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) sekali lagi berjaya membuktikan satu penanda aras acara terbesar bagi TV3. Lebih membanggakan apabila acara hiburan paling berprestij di Malaysia ini berjaya meraih lebih 57% penonton dari jam 9.00 malam hingga 11.30 malam bersamaan dengan 6 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).
Sememangnya keunggulan Anugerah Juara Lagu sebagai acara terunggul pembuka tirai tahunan tidak perlu disangkal lagi kerana kemunculannya yang sentiasa dinantikan para peminat muzik tempatan. Bukan sahaja di kaca televisyen, AJL 28 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi (www.anugerahjuaralagu.com) di mana penonton disajikan dengan siaran keseluruhan majlis anugerah serta kandungan eksklusif seperti acara Purple Carpet, Galeri, Video dan Di Sebalik Tabir.
[pullquote align=”right”]#AJL28 Raih Lebih 6 Juta Penonton! Dominasi Di Laman Sosial Trending Nombor 1 Di Malaysia Dan Seluruh Dunia. Tahniah TV3 & Media Prima![/pullquote]
Statistik di arena ‘atas talian’ (online) mencatatkan rekod memberangsangkan iaitu sebanyak 327,598 paparan halaman (termasuk tontonan global live streaming, ‘catch-up’ dan lawatan di laman rasmi AJL 28). Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan global live streaming sebanyak 141,824 diikuti negara-negara lain seperti Singapura (14,448), United Kingdom (4,103), Brunei (3,254), dan Amerika Syarikat (2,194).
Merancakkan lagi AJL 28 tahun ini, sebuah portal muzik baharu diperkenalkan iaitu ‘Tonton Music’ (www.tontonmusic.com.my) di mana orang ramai boleh berhibur dengan alunan lagu oleh 12 finalis AJL 28 menerusi album kompilasi secara PERCUMA dan mendapatkan album rakaman LANGSUNG AJL 28. Lebih 20,000 streaming berjaya dicatatkan pada malam Anugerah Juara Lagu 28 sahaja.
Manakala di laman sosial Twitter, sebanyak 251,000 tweets telah dikongsi menggunakan kata kunci #AJL28. Selain #AJL28, kata kunci yang turut hangat perbualkan ialah Hyper Act, Amy Search, AJL, M Daud Kilau, Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Congrats Hafiz yang merupakan 8 kata kunci daripada 10 tertinggi pada malam itu. Di laman sosial Instagram pula, sebanyak 12,929 gambar telah dikongsi menggunakan kata kunci #AJL28.
Tahun ini memperlihatkan antara penganjuran terbaik membawa konsep berlainan bersempena dengan ulangtahunnya yang ke-28, tema “Game On” dipilih kerana ia menggambarkan dua senario utama. Pertama, ia menunjukkan betapa kompetitifnya industri muzik tempatan dalam anugerah terbesar di Malaysia. Kedua, ia relevan dengan keadaan semasa di mana teknologi kini memainkan peranan terbesar dalam kehidupan kita terutama kehidupan sosial di mana semuanya digital, virtual dan mobile.
Tuah kali ini berpihak kepada pasangan penulis lirik dan komposer berpengalaman iaitu Ly dan Baiduri menerusi lagu “Bahagiamu Deritaku” dinyanyikan oleh Hafiz Suip yang berjaya muncul sebagai Juara dan Persembahan Terbaik AJL 28. Tempat kedua dimenangi lagu “Hanya Aku” ciptaan Hyper Act dan Frozen manakala tempat ketiga memihak kepada lagu “Kalau Aku Kaya” hasil ciptaan Audi Mok dan Omar K serta lirik oleh Altimet yang disampaikan oleh Awi Rafael dan Altimet. Selain empat anugerah ini, satu lagi kategori yang menjadi perhatian ialah Vokal Terbaik yang menyaksikan kemenangan Jaclyn Victor menerusi lagu “Ikut Rentakku”.
Gimik duit jatuh dari langit ketika persembahan finalis terakhir iaitu Awi Rafael dan Altimet telah memukau lebih 20,000 penonton yang hadir di stadium. Kehangatan Anugerah Juara Lagu diteruskan dengan persembahan interlude oleh W.A.R.I.S, Zaidi (One Nation Emcees) dan FILSUF yang mewakili muzik Hip Hop, di mana mereka turut bergandingan dengan tiga orang legenda dari genre berbeza iaitu Ziana Zain, Dato’ M.Daud Kilau dan Amy Search. Stadium menjadi gamat apabila penonton di stadium juga bergelek sama dengan Dato’ M.Daud Kilau sebelum di bawa mengimbau kembali zaman kegemilangan muzik Rock menerusi lagu “Pawana” oleh Amy Search.
Dalam pada itu, siaran langsung acara Purple Carpet yang disiarkan menerusi program Hip TV di TV9 turut mencatat tontonan tinggi dengan lebih 620,000 penonton!