in ,

AJL 25 Cecah Rekod Hampir 5 Juta Penonton

PENUH DENGAN PESONA & KEJUTAN…
AJL 25 Cecah Rekod Hampir 5 Juta Penonton!

Belum pun memasuki separuh bulan pertama tahun baru, stesen televisyen swasta nombor satu Negara, TV3 sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya meraih kadar tontonan tertinggi untuk bulan Januari melalui Anugerah Juara Lagu 25 yang telah berlangsung malam Ahad lalu.

Dibawakan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil pada malam 9 Januari 2011, Anugerah Juara Lagu 25 telah berjaya membuktikan sekali lagi sebagai satu penanda aras acara terbesar bukan saja bagi TV3 tetapi bagi sesebuah produksi dan acara hiburan di Malaysia apabila berjaya meraih jumlah penontonan sebanyak 4.2 juta (21.4 TVR) atau 64% (sumber AGB Nielsen) sewaktu tayangan secara langsung, bermula dari jam 9.00malam – 12.00tengah malam.

Lebih mengkagumkan, jika dilihat dari minit ke minit sepanjang siaran langsung, rekod menunjukkan satu tempoh yang mampu meraih kadar tontonan hampir 5 juta orang!

ajl 25

Sememangnya keunggulan Anugerah Juara Lagu sebagai acara berprestij pembuka tirai tahunan tidak perlu disangkal lagi kerana kemunculannya terus dinantikan para peminat muzik tempatan. Bukan saja penontonan di kaca televisyen, malah Anugerah Juara Lagu 25 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi ajl25.tv3.com.my.

Rekod menunujukkan seramai 83,764 mendaftar untuk kemudahan live streaming menerusi online menonton siaran eksklusif red carpet, di sebalik tabir dan keseluruhan majlis anugerah. Jumlah ini juga menunjukkan kenaikkan sebanyak 14.34% kali lebih tinggi berbanding tahun 2010 dan merupakan rekod terbaik live streaming untuk Media Prima secara keseluruhan. Daripada jumpah tersebut sebanyak 20% penonton dicatatkan terdiri dari pelayar-pelayar web dari luar negara seperti United Kingdom, Japan, Indonesia, Singapura, Mesir dan banyak lagi.

Anugerah Juara Lagu 25 juga berjaya mendapat sebanyak 1.4 juta pageviews yang mengikuti perkembangan terkini melalui laman web rasmi pada hari Ahad dan tempoh selepas tamatnya majlis.

Manakala laman sosial Facebook rasmi TV3 Malaysia pula meraih sebanyak 1 juta pageviews di sepanjang siaran langsung Anugerah Juara Lagu 25 dan untuk pertama kalinya, laman sosial Twitter juga dibuka dan mencatatkan sebanyak 13 ribu pesanan Twitter berkenaan Anugerah Juara Lagu 25 dan para selebriti yang terlibat dengan majlis tersebut.

ajl 25

Anugerah Juara Lagu 25 membawa satu dimensi baru dalam penganjurannya setelah memberi satu impak maksimum melalui persembahan pentas selain komitmen finalis yang membawakan lagu-lagu mereka dengan cara, pemfokusan dan kreativiti masing-masing. Tahun ini juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik sempena meraikan ulangtahun jubli perak dengan memartabatkan lagu Tolong Ingatkan Aku ciptaan dan lirik serta dinyanyikan sendiri oleh penghibur muda berbakat, Ana Raffali, satu keputusan sebulat suara dari pihak juri yang diketuai oleh komposer dan penyanyi berpengalaman, M.Nasir.

Menurut En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Perancangan selama 6 bulan ternyata membuahkan hasil yang lumayan, hasilnya bukanlah boleh di kira dengan wang ringgit akan tetapi melalui kepuasan menjadikannya satu acara di luar jangkaan. Bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan mencecah hampir 5 juta, segala keringat dan penat lelah tenaga kerja menjadi bukti bahawa tanggungjawab sebagai sebuah stesen TV dikongsi bersama menjadikannya sebuah acara gilang-gemilang. Saya bagi pihak TV3, juga berbangga dengan kerjasama dari semua pihak yang terlibat, produksi, pengurusan jenama, program-program terbitan dalaman, stesen radio rasmi Hot FM, para media yang sentiasa menyokong usaha kami ini dan Anugerah Juara Lagu 25 keseluruhannya.”

”Anugerah Juara Lagu 25 bukan sahaja semata-mata meraikan pengiat-pengiat muzik tanah air malah ianya juga sebagai batu loncatan untuk mereka yang memenangi anugerah tersebut untuk terus maju ke hadapan. Maklum balas yang diterima daripada para penonton juga amat menggalakkan malah pihak kami juga menerima permintaan daripada penonton untuk menyiarkan ulangan Anugerah Juara Lagu 25. Ini jelas membuktikan kewibawaan anugerah ini seharusnya diberikan pujian dan semoga terus sukses di masa akan datang,” ujar En. Ahmad Izham Omar lagi.

Untuk sekian kalinya, malam kemuncak kali ini menampilkan gandingan pengacara popular yang tidak asing lagi iaitu Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar yang menjadi nadi penggerak mewarnai majlis gilang-gemilang ini. Manakala sidang produksi Anugerah Juara Lagu 25 terdiri daripada Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif sementara Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) bertindak sebagai Penerbit.

ajl 25

ajl 25

ajl 25

ajl 25

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Faezah Ilai dengan Green Cheongsam Salikin Sidek

Justin Bieber My World Tour in Kuala Lumpur