From Lundang to Newscastle. Malaysia Airlines membawa pulang kisah cinta yang merentasi benua dengan filem digital pendek, ‘Home’.
Menjejaki kejayaan ‘Terbang’ dan ‘Blessings’, Malaysia Airlines membawakan sebuah lagi filem digital pendek berjudul ‘Home’. Dokumentari 8 minit ini menjejaki perjalanan cinta di antara Aadil, jejaka melayu yang bermastautin di kota London dan Athirah, seorang gadis di Pantai Timur. Walau terpisah oleh keadaan dan sempadan namun ini tidak menghalang mereka untuk merintis jalan pulang ke bumi bertuah yang dianggap tanah tumpah darah.
Hasil usahasama di antara Mohd Hisham Salleh, Ketua Media Sosial & Inovasi Malaysia Airlines dan Pengarah Kreatif Lokalab, Ili Amdan, dokumentari ini mendekati suara hati Aadil dan ahli keluarga dan teman terdekat, dalam berkongsi kisah yang merentasi lebih 6,000 batu. Sejak dilancarkan, ‘Home’ telah ditonton oleh lebih 1.3 juta pengunjung Youtube dalam masa hanya 10 hari.
“Cinta adalah cetusan rasa yang tidak ternilai. Ia mampu merubah keadaan dan mempertemukan dua jiwa, walau jauh terpisah. Kisah Aadil yang lahir dan dibesarkan di London, yang jatuh cinta dengan Athirah, seorang doktor yang menginap di Kota Bharu, Kelantan, mengingatkan kita tentang agungnya nilai sebuah cinta. Dari sudut yang lain, cinta wujud sebagai ‘kediaman’ yang menyatukan dua jiwa,” ujar Hisham.
“Dengan menghasilkan filem ini dalam bentuk dokumentari, kami percaya yang cinta ini mampu dipaparkan dengan lebih berkesan. Bukan sahaja dalam memaparkan dua insan yang terpisah di antara dua negara malah juga kasih sayang di dalam sebuah keluarga dan kerinduan terhadap tanahair,” menurutnya lagi.
Seperti filem pendek yang dihasilkan oleh Hisham sebelum ini, ‘Home’ disemarakkan lagi dengan dendangan Aizat Amdan, ‘Angau’ yang menjadi lagu latar. Filem ini dihasilkan dalam masa tidak sampai 2 minggu dengan berlatarkan kota London dan Kota Bharu.
“Bagi kami, filem ini merupakan penghargaan istimewa untuk laluan utama penerbangan utama Malaysia Airlines, yang bermula 40 tahun yang lalu. Ia adalah rasa terima kasih kami kepada mereka yang selama ini bertungkus lumus mengeratkan jalinanan kekeluargaan dengan orang tersayang,” tambah Hisham lagi.
Penerbangan pertama Malaysia Airlines di antara Kuala Lumpur dan London bermula pada 1 Julai 1974 dengan hentian di Timur Tengah. Selepas 2 Disember 1989, penerbangan kebangsaan ini meneruskan penerbangan tanpa henti di antara kedua-dua negara.
Hari ini, Malaysia Airlines terbang pergi-balik, dua kali sehari ke London, dengan penerbangan pagi dan malam. Mereka yang memilih laluan ini boleh menikmati keselesaan dan ruang yang luas di atas Airbus A380-800, di mana Malaysia Airlines menawarkan lebih 5,791 tempat duduk seminggu ke setiap destinasi.
Untuk keterangan lanjut mengenai penerbangan ini, sila layari www.malaysiaairlines.com