Demikian luahan Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mengulas berita seorang peminat memeluk agama Islam selepas mendengar lagu Aisyah Istri Rasulullah yang dinyanyikan semula dan dimuat naik secara santai menerusi aplikasi Smule, baru-baru ini.
Selepas lagu berkenaan dikongsi peminat dalam laman YouTube, Siti kemudiannya memuat naik rakaman yang sama di YouTube rasminya, Siti Official Video.
Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu berkata, dia menyanyikan semula lagu Aisyah Istri Rasulullah atas permintaan peminat ketika lagu berkenaan tular selepas dinyanyikan penyanyi Indonesia, Sabyan.
“Secara jujur, saya tak menyangka ramai yang suka lagu Aisyah Istri Rasulullah dinyanyikan semula. Hingga kini, sudah hampir mencecah 1.9 juta tontonan di YouTube.
“Lebih mengejutkan apabila dimaklumkan ada peminat memeluk Islam selepas mendengar lagu yang dimuat naik di YouTube sejak 10 April lalu. Saya mendapat tahu menerusi ruangan komen di bawah video lagu itu.
“Bagi saya, Allah SWT sudah pun memberikannya hidayah. Menjadi ‘asbab’ lirik lagu berkenaan mempunyai kebaikan dan keistimewaan yang menggerakkan hatinya. Segala-galanya aturan Allah,” katanya kepada BH Online.
Penyanyi yang tujuh kali menjulang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu berkata, dia bersyukur ada perkara dilakukan memberi dorongan kebaikan kepada insan lain atas sebab apa sekalipun.
“Saya mendoakan peminat berkenaan terus istiqamah kerana menjadi insan terpilih mendapat hidayah Allah.
“Sebagai penyanyi dan manusia biasa, saya berusaha menerapkan nilai baik dan positif dalam setiap lagu dendangan.
“Inilah yang diusahakan sejak dahulu. Tak kira siapapun, kita ada peranan mendorong orang lain menjadi insan lebih baik, bersemangat, tidak mudah putus dan bangkit dalam kehidupan,” katanya.
Terdahulu, seorang peminat mengakui memeluk Islam selepas mendengar lagu Aisyah Istri Rasulullah nyanyian Siti di Youtube, malah dikongsi berita gembira itu dalam ruangan komen lagu berkenaan.
“Saya minat Siti. Saya memeluk Islam sejak mendengar lagu Aisyah Istri Rasulullah nyanyiannya. Saya memeluk Islam sejak tiga hari lalu.
“Saya bertanya pada ustaz adakah lagu ini punca saya memeluk Islam. Ustaz beritahu, lagu nyanyian Siti adalah ‘asbab’ untuk saya pilih agama Islam. Allah memberikan hidayah kepada saya melalui lirik indah pada maksud lagu ini.
“Semoga saya terus kuat mencintai Rasulullah SAW yang dimaksudkan dalam lagu ini,” tulisnya.
Lagu Aisyah nyanyian asal Projector Band pernah dinyanyikan semula dalam versi lirik Islamik menerusi sentuhan Ustaz Hasbi Muh Ali pada 2017 menggunakan judul Aisyah RA.
Selain Siti dan Sabyan, antara penyanyi yang turut menyanyikan semula lagu berkenaan termasuklah Via Vallen dan Khai Bahar dengan cara tersendiri.
Dalam pada itu, Siti mengingatkan temu janji dengan peminat untuk menonton saluran YouTube rasminya, Siti Official Video, jam 2.30 petang, esok.
“Kepada peminat yang ingin mendengarkan saya menyanyikan lagu Aisyah Istri Rasulullah dengan versi lirik baharu yang disarankan secara langsung, jangan lupa menonton Live PKP Siti Nurhaliza di saluran YouTube saya.
“Sambil berhibur, bolehlah menderma apa yang termampu,” katanya.
Sumber: BH Online