Mereka memuji sikap profesional SPRM yang melayani mereka dengan baik sepanjang tempoh tahanan tersebut. Dalam sesi siaran langsung di TikTok, Aisyah menceritakan bahawa mereka diberikan makan minum yang mencukupi serta tempat tidur yang selesa.
Aisyah juga terharu dengan tindakan pantas pegawai SPRM yang segera membawanya ke klinik walaupun hanya mengalami sakit yang tidak serius. Dalam sesi tersebut, pasangan ini turut menjawab beberapa soalan daripada netizen mengenai isu digari dan dipakaikan baju lokap oren. Mereka menegaskan bahawa itu adalah prosedur yang harus dihormati.
Pasangan muda ini menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengalaman berharga dalam hidup mereka. Menurut mereka, kejadian ini memberi mereka kesedaran tentang pentingnya tidak terlalu selesa dengan kehidupan yang dinikmati sebelum ini.
Mereka juga mengakui telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan. “Kita pergi bantu siasatan, bagi apa dokumen dorang nak. Dorang nak keterangan kita bagi, semua benda yang dorang nak kita bagi,” jelas Aisyah.
Tambahan pula, Aisyah menegaskan bahawa tahanan reman mereka hanyalah untuk membantu siasatan dan bukannya bermaksud mereka sudah dijatuhkan hukuman bersalah. “Mungkin orang ingat oh dah digari, pakai baju oren memang orang tu bersalah. Tapi tidak,” tambahnya lagi.
Sepanjang tempoh reman, pasangan ini berkata mereka dilayan dengan sangat baik dan selesa. Siasatan juga dijalankan di dalam bilik pejabat yang berhawa dingin. Malah, mereka juga diberi hidangan yang sama seperti yang dinikmati oleh pegawai penyiasat. Pengalaman ini memberi mereka perspektif baharu dan pengajaran penting dalam kehidupan mereka.