Selepas sedekad menuai bakat dalam industri seni tempatan, duo penyanyi, Aishahanim bakal melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran Konsert One Night Only Aishahanim yang bakal berlangsung 6 Ogos 2023 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Tidak dapat menyembunyikan keterujaan, bagi Aishahanim, penganjuran konsert yang turut disertakan makan malam itu merupakan tanda penghargaan kepada keluarga, sahabat, rakan media dan peminat yang selama ini menyokong karier mereka.
Bakal mempersembahkan 15 buah lagu, Aishahanim berkata, konsert tersebut juga bakal menjadi lembaran penceritaan sejarah permulaan mereka dalam menuai bakat di laman seni tempatan.
“Setiap penyanyi mempunyai sejarah dan cerita sendiri. Begitu juga Aishahanim. Oleh sebab itu, konsert One Night Only Aishahanim adalah pentas untuk kami bercerita tentang perjalanan kami dalam dunia seni.
“Kami juga mahu membuktikan, kami mampu untuk menyanyi secara langsung. 15 lagu bukan mudah tetapi kami yakin dengan kemampuan dan bakat kami.
“Setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai cerita dan sejarah tersendiri dalam hidup kami. Tetapi 15 lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan terbaik untuk malam One Night Only Aishahanim,” kongsinya.
Sepanjang dua jam persembahan, peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian seleksi lagu-lagu nyanyian semula dan single hits mereka antaranya Angkara, Tinggalan Cinta dan Leka.
Malah, mereka bakal menyanyikan lagu-lagu nyanyian idola mereka antaranya, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Ziana Zain dan ramai lagi.
Seleksi lagu yang bakal dipersembahkan juga akan menggabungkan pelbagai genre bermula dari era 60-an sehingga sekarang.
Persembahan secara langsung itu juga diiringi oleh Band Tentera Darat Port Dickson.
Bercakap soal stamina, Aishahanim kini giat berlatih menerusi senaman dan aktiviti riadah untuk memastikan mereka bertenaga sepanjang hampir dua jam persembahan tersebut.
Konsert One Night Only Aishahanim dijayakan oleh Wyn Wyn Event, BERJAYA dan Ridzokumura.