REALITI KISAH WANITA GIGIH DALAM JIHAD KHADIJAH, MENGISI SLOT SUTERA SETIAP ISNIN HINGGA KHAMIS, JAM 11.05 PAGI DI RTM1
Jihad menuju kejayaan sememangnya dituntut dalam setiap agama. Malah pengalaman yang dikutip lebih manis dan berharga tatkala kejayaan telah terhidang di depan mata. Begitu kisah yang melatari kisah drama bersiri terbaharu Jihad Khadijah mengisi slot Sutera, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.05 pagi di RTM1.
Jihad Khadijah menerusi 26 episod menarik siarannya ini mengisahkan kecekalan seorang wanita bernama Khadijah yang berjuang bersama suaminya, Karim bagi membuktikan bidang pertanian dan perikanan mampu diusahakan menjadi satu industri dan perniagaan yang menguntungkan.
Perjuangan Khadijah bermula sekitar tahun 1980an bersama Karim yang ketika itu bekerja sebagai ‘awak-awak’ dengan salah sebuah bot nelayan yang dimiliki oleh Pak Ayob, bapa Khadijah.
Meski pun hubungan percintaan antara Khadijah dan Karim menerima tentangan hebat daripada ramai ahli keluarga dan saudara maranya, mereka nekad memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan. Mujur ketika itu Pak Ayob yang begitu menyenangi sikap Karim yang rajin sebagai menantunya sudi menguruskan majlis pernikahan mereka.
Namun hakikatnya Pak Ayob hanya mahu melihat kebahagiaan anak tunggalnya itu. Hinggakan dia sanggup mengetepikan statusnya sebagai orang kaya di kampung itu. Pada masa yang sama dia begitu kagum dengan kerajinan yang ditunjukkan menantunya itu.
Selain mengusahakan bidang perikanan, Pak Ayob juga memiliki tanah yang luas tapi terbiar tidak diusahakan kerana dia tidak mempunyai masa menguruskannya. Lalu dia dengan sepenuh keyakinan menyerahkan tanah itu untuk diuruskan oleh anak dan juga menantunya.
Khadijah yang sememangnya bersemangat waja dan memiliki visi hidup mahu memajukan diri terus menggunakan kesempatan yang diberikan ayahnya itu untuk membuktikan keupayaannya. Apatahlagi dia sedar dia satu-satunya pewaris segala harta yang ada.
Berjayakah Khadijah mengejar cita-citanya itu? Sekaligus dapatkah dia menyempurnakan impian menguruskan bidang perikanan dan pertanian yang diwarisi daripada ayahnya?
Jihad Khadijah terbitan Times United Industries Berhad ini menyaksikan lakonan berkesan Aishah Mat Desa, Rozie Rashid, Nazri Sapuan, Hairi Othman, Zack X Factor, Ezani Nizariff, Mohd Shafris Shaharuddin dan Wan Elyas Wan Abdullah.
Jangan ketinggalan menyaksikan kesudahan Jihad Khadijah, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.05 pagi di RTM1.