Merakamkan semula lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh artis-artis legenda merupakan satu perkara biasa dalam industri muzik. Ramai penyanyi di seluruh dunia sering mengambil langkah ini kerana lagu-lagu lama mempunyai irama dan melodi yang kekal relevan sepanjang zaman.
Setelah diberi nafas baharu, karya-karya emas ini sering kali menarik perhatian generasi muda yang mungkin tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Melalui usaha ini, lagu-lagu lama diberi peluang untuk kembali hidup dan dikenali oleh khalayak yang lebih luas.
Namun begitu, usaha merakamkan semula lagu-lagu lama bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak semua penyanyi berjaya memberikan sentuhan yang dapat menghidupkan kembali keaslian dan daya tarikan lagu-lagu tersebut.
Ada yang mencuba tetapi gagal menarik perhatian pendengar, manakala ada juga yang berjaya mencipta semula lagu tersebut sehingga menjadi hits dan dikenang ramai. Hanya beberapa penyanyi berbakat sahaja yang mampu menghidupkan kembali lagu-lagu lama dengan keunikan dan kemahiran vokal mereka.
Salah seorang penyanyi senior Malaysia yang mahu mencuba perkara ini ialah Dato’ Aishah, yang dikenali dengan vokalnya yang luar biasa. Beliau pernah menembusi pasaran antarabangsa pada zaman mudanya bersama kumpulan The Fan Club. Kini, Dato’ Aishah kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dipopularkan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.
“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah. ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” ujar Dato’ Aishah sambil menjelaskan mengapa beliau memilih lagu ini untuk dirakam semula.
Selain itu, Dato’ Aishah juga mahu anak-anak muda masa kini mengenali lagu-lagu lama yang bagus. “Lagu-lagu seperti ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. Ia begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya lagi.
Sebagai rakaman semula dengan nafas baharu, terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi Dato’ Aishah. “Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari suara penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya tentang versi baharu lagu tersebut.
Saat ditanya tentang harapannya untuk projek terbaharunya ini, Dato’ Aishah menyatakan bahawa beliau mahu lagu ini diterima baik oleh semua. “Semoga lagu-lagu seperti ‘Di Pinggir Kayangan’ ini akan mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga. Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama, barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” ujar Dato’ Aishah di akhir bicara.
Lagu “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah dijadualkan untuk dikeluarkan pada 19 Julai 2024. Ia boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.
Lirik Dipinggir Kayangan
Jikalau kau tidur
Tidurlah hai manja
Ahai tidurlah selesa
Tidurlah nan nyenyak
Ahai di pinggir kayangan
Silalah kau kenang
Kenangilah hamba
Ahai kenangkan adinda
Kenangilah sayang
Ahai bayang membayang
Kan ku hidangi segala santapan
Bersulam sulaman
Yang enak dan nyaman
Sang buluh perindu
Menghibur merdu
Amboi tersusun
Silang mengalun
Lunaknya berseri
Lunaknya berseri
Bak patun memantun
Kan ku taburi rampai rampaian
Kembangan cina yang harum semerbak
Engkaulah kekasih di alam impian
Tangan beralun jari menyusun
Sembah yang berseri
Sembah berseri
Bersopanlah santun
Sekiranya bangun
Bangunlah berdoa
Ahai bangunlah berkisah
Berkisah semalam
Ahai di pinggir kayangan