Pastinya suatu tindakan terhormat seorang wanita yang sanggup mengetepikan kepentingan sendiri semata-mata tidak mahu melihat kaum sejenisnya terluka dengan alasan sanggup bermadu.
Menampilkan barisan mantap pelakon Azhan Rani, Aishah Azman, dan Jasmine Suraya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan drama kekeluargaan, “Di Pinggir Ilusi†yang menyaksikan bila mana manisnya sebuah pengorbanan seorang gadis yang tidak sanggup melukakan wanita lain kerana seorang lelaki.
Mengisi slot Citra di TV2 pada 19 Januari ini, pukul 9.30 malam, drama arahan Hazali Haji Ramli ini turut dibintangi pelakon Laila Nasir, Zarynn Min, dan Zaidi Omar.
Galur ceritanya dimulai dengan membawakan babak Datin Hasnah membebel pada adiknya, Rizman yang masih bujang tatkala usianya mencecah 40 tahun. Hasnah ingin menjodohkan Rizman dengan Mastura dan Rizman akhirnya bersetuju walaupun beliau tidak mencintai Mastura.
Di hari perkahwinan, Rizman terserempak dengan Auni yang sedang bermain gamelan dan gadis inilah yang sering muncul dalam mimpinya kebelakangan ini. Rizman yang jatuh cinta pandang pertama pada Auni, berhasrat untuk membatalkan perkahwinannya dengan Mastura namun ditegah oleh kakaknya, Datin Hasnah.
Datin Hasnah menghalau Auni dari majlis pernikahan tersebut. Auni kemudiannya telah terlibat dalam kemalangan akibat dilanggar kereta dan beliau kemudiannya disahkan lumpuh.
Selepas beberapa bulan, Mastura berjaya menjejaki Auni selepas menyedari yang suaminya, Rizman mencintai Auni dan bukan dirinya. Beliau memujuk Auni untuk menjadi isteri Rizman namun Auni agak keberatan.
Rizman semakin bosan dengan situasi tersebut dan bertindak menghalau Mastura dari rumah. Datin Hasnah pula lumpuh selepas terjatuh dalam satu insiden dan sebagai balasan akibat selalu menghina Auni selama ini.
Rizman akhirnya sedar dan kembali mencari Mastura untuk meminta maaf. Mereka mula menemui kebahagiaan dan dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Auni sebagai kenangan. Namun apakah sebenarnya yang terjadi pada Auni? Ikuti kesudahannya di TV2.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.