AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana terkemuka di Asia hari ini menyambung semula perkhidmatan yang telah lama ditunggu-tunggu ke laluan pertamanya iaitu Gold Coast, Australia, selepas lebih dua tahun berikutan pandemik.
Penerbangan sulungnya telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 11.25 malam waktu tempatan dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast pada jam 9.25 pagi waktu tempatan. Sempena penyambungan semula perkhidmatan ke bandar persisiran pantai itu, para tetamu diraikan dengan meriah sebelum menaiki pesawat dan semasa ketibaan.
Gold Coast ialah destinasi keempat syarikat penerbangan itu di Australia. Penyambungan semula perkhidmatan ini memperkukuh kedudukan AAX sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka yang menghubungkan Australia ke destinasi utama Asia dan satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang terus antara Malaysia dan negeri Queensland.
Nikmati tambang rendah daripada RM699 sehala sempena penyambungan semula ini
Satu sidang media telah diadakan di Lapangan Terbang Gold Coast untuk meraikan acara penting itu yang dihadiri oleh Stirling Hinchliffe, Menteri Pelancongan, Inovasi dan Sukan Queensland; Amelia Evans, Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited; Karen Bolinger, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Destination Gold Coast; Dato’ Fam Lee Ee, Lembaga Pengarah AirAsia X; dan Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X serta pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama lain.
Menteri Pelancongan Stirling Hinchliffe berkata AirAsia X diramal menjana AUD45.6 juta untuk ekonomi pelancongan Gold Coast.
“Perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ini telah disokong oleh Kerajaan Palaszczuk bernilai AUD200 juta dengan kerjasama Lapangan Terbang Gold Coast.
“Kami menyokong AirAsia X kerana mereka komited untuk meningkatkan jadual penerbangan ke Gold Coastnya kepada lima hari seminggu menjelang akhir tahun ini.
“AirAsia X merupakan pelaburan hebat dalam ekonomi pelancongan Gold Coast dan perkhidmatan ini akan menyokong 450 peluang pekerjaan di Queensland.
“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan pelancong Malaysia kembali ke Queensland untuk menikmati gaya hidup hebat dan pengalaman percutian bertaraf dunia di Gold Coast,” tambah Encik Stirling Hinchliffe.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata hari ini adalah hari yang amat penting untuk AAX kerana ia kembali ke Gold Coast – laluan pertamanya yang telah dilancarkan pada November 2007.
“Gold Coast akan sentiasa menjadi destinasi istimewa di hati kami dan apa yang menjadikan pengumuman ini lebih penting ialah AAX kini satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke Gold Coast dan ke Queensland secara keseluruhan.
“Laluan baharu ini menyediakan pilihan perjalanan udara yang paling berpatutan untuk para tetamu yang ingin menerokai salah satu destinasi pelancongan paling popular di Australia. Selain itu, ia juga memudahkan warga Australia yang ingin melawat Malaysia atau meneruskan perjalanan ke Asia menerusi rangkaian global kami termasuk Singapura, Thailand, Vietnam, India dan banyak lagi.
“Penyambungan semula laluan ini hari ini bukan sahaja akan menarik sebilangan besar pengunjung dari Malaysia dan negara Asia lain tetapi juga mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Australia. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama kami, terutamanya Lapangan Terbang Queensland dan Destination Gold Coast untuk menjadikan Gold Coast sebagai destinasi pelancongan pilihan berjuta-juta penduduk di Asia,” kata Benyamin Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited Amelia Evans berkata penyambungan semula perkhidmatan penerbangan AirAsia X ke Gold Coast akan menyediakan tiga penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Gold Coast dan menawarkan 58,000 tempat duduk tambahan ke rantau ini pada setiap tahun.
“Sejak penerbangan pertama AirAsia X berlepas dari Kuala Lumpur ke Gold Coast pada tahun 2007, lebih dua juta pengembara telah terbang antara dua bandar itu.
“Penyambungan perkhidmatan ini mewujudkan semula hubungan penting antara dua hab pelancongan dan ekonomi utama pada tambang kompetitif untuk perjalanan antarabangsa, dan memacu kerjasama penting dengan AirAsia X untuk masa depan.
“Kami teruja untuk mengalu-alukan AirAsia X kembali ke Terminal Antarabangsa baharu kami, memberikan para pengunjung pengalaman yang lebih baik dari saat mereka mendarat ke Gold Coast dan rantau ini,” Amelia Evans berkata.
Untuk meraikan penyambungan semula perkhidmatan ke salah satu destinasinya yang paling popular, AAX menawarkan tambang termasuk semua* bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Gold Coast daripada RM699 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM2,999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed.
AAX juga akan meraikan penyambungan semula perkhidmatan ini dengan acara menarik di Pusat Beli-belah Pacific Fair, Gold Coast pada hari Ahad, 2 April 2023 dari 11 pagi hingga 3 petang. Pelbagai aktiviti dan hadiah menarik termasuk peluang untuk memenangi penerbangan percuma tersedia untuk semua!