in

Airasia Umum Fasa Kedua Kempen #toPHwithlove

Sejumlah RM1.5 juta telah berjaya dikumpul oleh AirAsia sejak melancarkan kempen kutipan derma pelbagai saluran #toPHwithlove pada pertengahan November lepas, yang bertujuan untuk meraih derma sebanyak mungkin bagi membantu usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Palang Merah Filipina dan juga untuk membina semula komuniti yang terjejas teruk oleh Taufan Haiyan.

Dana yang terkumpul adalah melalui sumbangan wang yang dikutip di atas penerbangan dan di lapangan terbang yang merentasi jaringan Kumpulan AirAsia serta laman mikro Yayasan AirAsia (AirAsia Foundation) di airasiafoundation.com/typhoonhaiyan, yang merupakan sebuah badan kebajikan di bawah Kumpulan AirAsia.

Bagi memulakan fasa kedua kempen ini, AirAsia akan mula menawarkan pilihan kepada para tetamu untuk menderma USD1 bagi membantu mangsa-mangsa Taufan Haiyan semasa menempah servis tambah nilai seperti hidangan, insuran perjalanan dan lain-lain bersama tempahan penerbangan mereka di www.airasia.com. Pilihan ini ditawarkan dari sekarang sehingga 31 Disember 2013.

Dalam pada itu, EQ8, minuman tenaga semulajadi berperisa oren dan markisa yang boleh didapati di dalam penerbangan AirAsia dengan kod AK (dikendalikan oleh AirAsia Malaysia), akan menyumbangkan RM1 bagi setiap jualan ke tabung kempen #toPHwithlove dari 9 Disember sehingga 31 Disember 2013.

Selain usaha mengumpul dana, AirAsia juga telah menyediakan tempat duduk percuma untuk para sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf dan agensi kemanusiaan untuk melakukan perjalanan ke / dari Filipina bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan. Organisasi yang telah dibantu termasuk Mercy Malaysia, Malaysian Relief Agency, Crest Malaysia dan Insaf Malaysia. AirAsia juga akan menyokong misi-misi kemanusiaan yang dijalankan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Kumpulan AirAsia juga akan memberikan sumbangan dengan menyamai jumlah yang dikumpul daripada orang ramai, dan jumlah tersebut akan dikendalikan oleh Yayasan AirAsia bagi usaha jangka panjang pembangunan semula komuniti yang terjejas oleh taufan tersebut.

Orang ramai boleh melayari laman Facebook AirAsia (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha AirAsia dalam membantu mangsa-mangsa bencana dan kempen #toPHwithlove, dan juga cara untuk membantu mangsa-mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Liputan Menyeluruh Sukan Sea 2013 Myanmar di Astro Arena

Gambar Sebalik Tabir Muzik Video Masih Aku Cinta Shila Amzah