AirAsia terus mengembangkan rangkaiannya di India dengan mengumumkan penyambungan semula laluan ke Visakhapatnam. AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan terus ke bandar tersebut.
Mulai 26 April 2024, AirAsia akan mengendalikan tiga penerbangan mingguan ke bandar yang menakjubkan di Teluk Bengal tersebut. Bandar Visakhapatnam juga dikenali sebagai ‘Vizag’ merupakan salah satu destinasi di India yang menawarkan pelbagai tarikan menarik seperti pemandangan indah, peninggalan tapak bersejarah, festival tradisional dan pelbagai tempat menarik lain untuk diterokai.
Selain menawarkan hidangan tradisional Andhra yang lazat, Visakhapatnam juga merupakan destinasi popular kepada pencinta laut dari seluruh dunia dengan persisiran pantainya yang indah. Antara tarikannya yang terkenal adalah ‘Dolphin Hill’, sebuah bukit dengan bentuk menyerupai ikan lumba-lumba dan dapat dilihat dari setiap sudut bandar tersebut.
Sempena penyambungan semula laluan baharu ini, para pengembara boleh menempah penerbangan bermula hari ini hingga 14 Februari 2024 dengan tambang bermula RM199* termasuk semua sehala dan bermula INR4,999* dari Visakhapatnam ke Kuala Lumpur untuk tempoh perjalanan antara 26 April 2024 dan 19 Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: “Kami berbangga untuk terus mempertingkatkan rangkaian di salah satu pasaran antarabangsa terbesar kami iaitu India. Laluan secara terus ke Visakhapatnam ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan kami dan dilancarkan pada masa yang tepat, menandakan laluan keempat ke India pada tahun ini dan akan terus berkembang pada masa depan. Kami berharap dapat menghubungkan para pengembara ke bandar yang kaya dengan tradisi dan warisan serta keindahan alam yang mempesonakan. Kami juga berharap dapat menghubungkan para pengembara dari bandar ini untuk turut mengunjungi Kuala Lumpur yang juga menawarkan penerbangan sambungan secara berpatutan ke destinasi lain di Malaysia, Asia Tenggara dan lain-lain.
“Pengembangan laluan ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menawarkan pilihan perjalanan yang lebih berpatutan bagi menghubungkan para tetamu dengan budaya yang berbeza. Bagi tahun 2024 ini, AirAsia akan terus menerokai peluang baharu untuk memperluaskan rangkaian di India dan meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.”
AirAsia juga telah mengumumkan tiga laluan baharu lain ke India yang akan mula beroperasi pada tahun ini iaitu Thiruvananthapuram pada bulan Februari yang merupakan laluan kedua AirAsia ke negeri Kerala selepas Kochi; Jaipur pada bulan April dan Ahmedabad pada bulan Mei.
AirAsia dan AirAsia X kini terbang ke enam bandar di selatan India iaitu Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru dan Kolkata serta dua bandar di utara iaitu New Delhi dan Amritsar.