airasia Super App sekali lagi mengambil satu langkah berani sebagai antara pemain industri e-panggilan di Malaysia dengan mengumumkan tawaran pekerjaan sepenuh masa kepada para pemandu cabang e-panggilannya, airasia ride, yang telah memasuki tahun pertama pengoperasiannya dan sebulan sejak pengumuman yang sama dibuat untuk para penunggang cabang penghantaran airasia food dan airasia xpress.
Pilihan pekerjaan sepenuh masa ini adalah penambahbaikan dan tambahan kepada program Pemandu Bebas semasa dan sedia ada di airasia ride.
Berkuatkuasa 1 Oktober 2022, pemandu daripada program sedia ada yang layak serta pemandu baharu boleh memilih untuk menyertai program Pemandu Sepenuh Masa ini yang akan membolehkan mereka untuk memperoleh pendapatan asas bulanan sehingga RM3,500 termasuk faedah petrol, serta berpeluang untuk menjana jumlah pendapatan sehingga RM8,000 dengan tambahan skim insentif pemandu, di samping rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan termasuk untuk pasangan dan anak-anak, cuti tahunan dan manfaat pelancongan lain termasuk kadar diskaun kakitangan yang tinggi untuk penerbangan AirAsia. Pemandu sepenuh masa ini juga akan diberikan keutamaan untuk tugasan di lapangan terbang bagi membolehkan mereka untuk memperoleh pendapatan yang lebih daripada perkhidmatan angkut dan hantar ke lapangan terbang sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap pelancongan di seluruh rantau ini.
airasia ride yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu kini mempunyai 53,000 pemandu berdaftar di bawah platformnya dan telah melengkapkan sebanyak 2 juta tumpangan setakat ini. Platform e-panggilan paling pesat berkembang di Malaysia itu telah memperjuangkan tambang yang berpatutan kepada kedua-dua pemandu dan penumpang dan sentiasa mempertimbangkan kemampuan penumpang di samping memberi faedah yang setimpal kepada para pemandunya dengan tambahan waktu perjalanan disebabkan trafik yang sesak.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Ini merupakan sesuatu yang wajar dilakukan. Kami akan sentiasa mengutamakan kakitangan kami. Sebulan yang lalu, kami telah menjadi yang pertama di rantau ini untuk menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada pekerja penghantaran gig, dan hari ini kami ingin meraikan setahun pengoperasian airasia ride dengan mengumumkan tawaran pekerjaan secara sepenuh masa kepada pemandu airasia ride yang berkelayakan.
“Dalam sebuah perniagaan e-panggilan, para pemandu merupakan bahagian yang penting dalam operasinya. Sejak hari pertama kami menubuhkan airasia ride, kebajikan para pemandu merupakan keutamaan kami dan kami amat berbangga untuk terus kekal di hadapan melalui pengumuman hari ini. Pesaing-pesaing kami mendenda pemandunya untuk tidak mengambil tugasan, tetapi kami melihatnya daripada perspektif yang lain dan memberi ganjaran kepada para pemandu yang telah menunjukkan rekod yang baik dan komitmen yang tinggi kepada tugasan mereka dengan menawarkan laluan kerjaya yang kukuh bersama airasia ride.
“Sesiapa sahaja boleh memilih untuk menjadi pemandu sepenuh masa dengan pendapatan yang lebih baik serta dapat mengembangkan kerjaya mereka dengan menjawat jawatan korporat termasuk sebagai Pengurus Pengangkutan, Jurulatih Pemandu, Eksekutif Operasi dan banyak lagi. Para pemandu ini dapat menikmati pelbagai faedah sebagai Allstar apabila mereka menyertai ekosistem luas Capital A secara sepenuh masa, termasuk pendapatan tetap dan taraf hidup yang lebih baik. Ini semua tentang menambah nilai kepada kehidupan dan laluan kerjaya mereka, daripada menjadi seorang pemandu e-panggilan, mereka boleh menjadi kru kabin, juruterbang, penganalisis data, ahli pemasaran digital, menjadi sebahagian daripada pejabat korporat dan banyak lagi.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk menarik dan mengekalkan pemandu di samping memenuhi permintaan yang meningkat untuk perkhidmatan e-panggilan, dan kami gembira untuk mengalu-alukan semua pemandu kami ke dalam keluarga Allstar,†tambah Tan Sri Tony Fernandes.
Gowrish Nambiar A/L Gengadharan, pemandu airasia ride berkata, “Saya meninggalkan kampung halaman di Johor dan mengambil keputusan untuk bekerja dengan airasia ride di Lembah Klang bermula April 2022. Hari ini merupakan hari yang sangat gembira kerana pihak syarikat telah berbesar hati untuk menawarkan pekerjaan secara sepenuh masa kepada kami dan kami berasa dihargai. Sebagai seorang pemandu sepenuh masa, kami telah berusaha untuk mendapatkan jaminan pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi, dan saya bersyukur kerana airasia Super App telah menjadi yang pertama untuk menawarkan peluang ini di pasaran. Saya percaya tawaran ini akan memotivasikan para pemandu untuk bekerja dengan lebih baik.â€
airasia ride kini beroperasi di sebelas (11) lokasi di seluruh Malaysia, dan baru-baru ini telah melancarkan operasinya di Kota Kinabalu semalam dengan sambutan hangat pada sebuah acara yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Jeffery Kitingan.
Individu yang berminat untuk menjadi pemandu sepenuh masa bersama airasia ride boleh mendaftar melalui Borang Pemandu Sepenuh Masa ini