in

AirAsia X Rangkul 2 Emas di Anugerah Antarabangsa ARC ke-31

Emas untuk Laporan Tahunan Bukan Tradisional Terbaik (Penerbangan)
Emas untuk Produksi dan Penerbitan (Penerbangan)
Perak untuk Foto Muka /Rekabentuk (Penerbangan)

Laporan tahunan syarikat AirAsia X Berhad 2016 telah memenangi dua anugerah emas di Anugerah Pertandingan Laporan Tahunan Antarabangsa buat julung kalinya.

Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh ini telah memenangi anugerah tertinggi di pertandingan tersebut untuk dua kategori iaitu – Laporan Tahunan Bukan Tradisional Terbaik (Penerbangan) dan Produksi dan Penerbitan (Penerbangan). Syarikat penerbangan itu juga merangkul perak bagi kategori Foto Muka /Rekabentuk (Penerbangan).

Laporan tahunan yang bertemakan “Realising Dreams” (Merealisasikan Impian), menampilkan muka depan yang sukar dilupakan dengan tiga orang kanak-kanak comel – seorang kanak-kanak lelaki memakai pakaian seragam juruterbang, seorang kanak-kanak perempuan memakai pakaian seragam krew kabin dan seorang lagi kanak-kanak lelaki memakai pakaian biasa dengan pas masuk pesawat seperti seorang penumpang, dimana konsep muka depan Laporan Tahunan ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk berusaha merealisasikan impian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Saya berbangga dengan usaha pasukan jabatan perhubungan pelabur yang diketuai oleh Hanif Idrose dan kesemua Allstars diiktiraf. Ia adalah satu pengiktirafan untuk semangat gigih dan usaha keras mereka. Pasukan yang telah bersama-sama menghasilkan penerbitan laporan tahunan ini telah melaksanakan kerja yang amat mengagumkan untuk melambangkan budaya kerja di AirAsia X dan kakitangannya. Syabas diucapkan kepada mereka dan kesemua ahli keluarga AirAsia X. Saya yakin dengan dedikasi dan semangat yang telah dipaparkan itu, kita akan terus mencapai ke mercu tanda yang baru.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail pula berkata, “Anugerah emas dan perak yang kita menangi ini adalah penghormatan yang amat bermakna buat kita. Ia menjadi bukti kukuh dan pengiktirafan kepada komitmen syarikat penerbangan ini ke arah merealisasikan impian kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kesemua tiga bilion orang di wilayah Asia Pasifik, dari Negara China, Jepun dan Korea ke Australia, merentasi ke Timur Tengah dan malahan kini ke Amerika.”

Mengulas lanjut tentang konsep laporan tahunan tersebut, ujar Benyamin, “Foto muka depan tersebut adalah mengenai aspirasi kanak-kanak yang mampu mengatasi segala kemungkinan kehidupan dan bagaimana AirAsia X merupakan penjana impian bagi kesemua warga Allstars (staf) yang berusaha menjadikan cetusan idea dan minat kepada realiti. Agak berbeza dengan konsep tradisional yang biasanya hanya menonjolkan kakitangan krew kabin di muka depan bagi sesebuah laporan tahunan, ianya juga adalah satu usaha yang meraikan pencapaian impian disepanjang tahun 2016, disamping menyampaikan maklumat tepat dan jelas mengenai syarikat dengan lebih kreatif dan efektif kepada pihak berkepentingan, pemegang saham dan juga pelabur.”

Laporan tahunan ini juga mempunyai muka surat khusus dimana Datuk Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Benyamin memberi penghormatan kepada Ketua Pegawai Operasi AirAsia iaitu Allahyarham Anaz Ahmad Tajuddin, yang telah meninggal dunia pada 13 Januari 2017 disebabkan kanser. Terdapat juga satu muka surat istimewa yang memaparkan nota daripada Datuk Kamarudin, Tan Sri Tony dan Benyamin, berterima kasih dan menyifatkan kakitangan sebagai penyumbang utama didalam merealisasikan kejayaan syarikat untuk kembali ke prestasi yang lebih tinggi. Konsep keseluruhan dengan persembahan yang tersendiri, reka bentuk dan susun atur menarik yang dipaparkan oleh laporan tahunan ini adalah bertujuan menggambarkan semangat dan visi AirAsia X untuk terus menjadi syarikat penerbangan pilihan Asia.

Ditubuhkan oleh MerComm Inc pada1987, Anugerah ARC bertujuan untuk menggalakkan penulisan penting dan perlu diberi perhatian serta reka bentuk yang asli dan imaginatif. Anugerah ARC adalag pertandingan antarabangsa terbesar dunia yang memberi penghormatan kepada keunggulan laporan tahunan. Memenangi anugerah ARC diidamkan kerana ia pengadilan yang saksama oleh wakil pelbagai organisasi di peringkat global.

Laporan tahunan AirAsia X boleh diperolehi dan dimuat turn di http://airasiax.listedcompany.com/misc/ar/ar2016.pdf.

CD Corporate Reports Sdn Bhd adalah agensi kreatif yang berpengkalan di Malaysia telah dilantik oleh AirAsia X bagi penerbitan dan pelaksanaan hasil kerja kreatif bagi laporan tahunan 2016.

Ikuti perkembangan mengenai aktiviti dan promosi AirAsia melalui Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama MEH SANDAR LAGI Lakonan Mira Filzah & Aliff Aziz

Senarai Pemenang IM4U FM MIC DROP 2017