AirAsia hari ini mengumumkan pengembangan operasinya di Malaysia ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang. Pengembangan operasi ini memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbesar negara berdasarkan rangkaian dan kapasiti.
Pengembangan ini juga melengkapi operasi di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) yang akan menawarkan para pengembara bukan sahaja kesalinghubungan tambahan malah pilihan perjalanan lebih mudah berikutan lokasinya yang berdekatan dengan pusat bandar.
Operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang akan bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu sebanyak 14 penerbangan mingguan. Penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 30 Ogos 2024, menandakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan tersebut dan inisiatif pemulihan semula Lapangan Terbang Subang.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group berkata: “Lapangan Terbang Subang merupakan tempat istimewa di hati saya dan kami berbesar hati untuk menyaksikan pemulihannya sebagai salah satu pemain utama dalam landskap industri penerbangan Malaysia. Keputusan kerajaan untuk memulihkan lapangan terbang ini sebagai hab penerbangan serantau adalah sejajar dengan misi kami untuk terus merevolusikan industri penerbangan. Peningkatan trafik udara dan aliran penumpang yang dijana oleh operasi kami akan memberi kesan terhadap industri berkaitan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di rantau ini.
“Pengembangan operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang bukan sahaja bersifat nostalgia malah strategik. Cabang kejuruteraan Capital A, Asia Digital Engineering (ADE) juga beroperasi di lapangan terbang ini dan dapat meningkatkan kecekapan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat kami. Kami berbesar hati untuk kembali mengembangkan lapangan terbang pertama kami dan komited untuk memperkukuh syarikat penerbangan ini serta menyumbang kepada kemakmuran komuniti setempat. Ini adalah langkah yang tepat untuk kemajuan industri penerbangan negara dan kami berbesar hati untuk memacu visi ini.”
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: “Keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua kami di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang ditawarkan. Lokasi lapangan terbang ini yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk para tetamu di kawasan setempat. Selain itu, saiznya yang lebih kecil dan jumlah penumpang yang lebih rendah memastikan perjalanan lebih lancar untuk pengembara, sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan pilihan, serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara.
“Operasi di Lapangan Terbang Subang juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan. Operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan kami seterusnya, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini. Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. Ini akan merealisasikan visi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. Kami optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam kami di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada para tetamu.”
Bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 termasuk semua* sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99 termasuk semua* sehala, termasuk bagasi daftar masuk 15kg percuma. Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com bermula hari ini sehingga 28 Julai 2024 untuk tempoh perjalanan antara 30 Ogos 2024 hingga 8 Oktober 2025.