Uniform terbaru menggunakan teknologi fabrik daripada HPE Clothing, memberikan kesempurnaan dari segi fungsi, keselesaan dan gaya terbaik. AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, hari ini memperkenalkan rekaan terbaru bagi uniform para kakitangan Pengendalian Darat, dengan teknologi fabrik yang disediakan oleh HPE Clothing.
Uniform terbaru yang diusahakan oleh syarikat penerbangan itu menyediakan kepada para kakitangannya yang bertugas di lapangan terbang, Perkhidmatan Pelanggan dan Ramp, dengan keselesaan yang terbaik di dalam persekitaran kerja mereka, dan pada masa yang sama memberikan keterampilan yang lebih bergaya.
Steven Dickson, Ketua Jabatan Pengendalian Darat Kumpulan AirAsia berkata:
“Para kakitangan merupakan asset yang amat berharga bagi kami, kerana segala usaha dan dedikasi mereka merupakan punca kejayaan dan pencapaian kami selama ini. Kegigihan mereka dalam memberikan khidmat yang terbaik dan berkualiti adalah kunci kepada peningkatan nilai jenama kami, melebarkan lagi jurang di antara AirAsia dan penyedia perkhidmatan penerbangan yang lain. Ia memberikan inspirasi kepada kami untuk mereka uniform baru ini, bagi mencerminkan profesionalisme dan meningkatkan prestasi mereka dalam menyediakan pengalaman terbang yang terbaik kepada para tetamu kami.
“Kami telah memilih HPE Clothing untuk terlibat dalam rekaan uniform baru ini disebabkan kemampuan mereka untuk menggabungkan fabrik bersifat revolusi dan pintar, amat sesuai bagi persekitaran kerja dan membantu memberikan produktiviti dan prestasi yang terbaik. Para AirAsia Allstars kami telah terlibat dalam proses pembangunan rekaan dan para kakitangan yang bakal menggunakan uniform tersebut telah dipertanggungjawabkan untuk memilih rekaan akhir. Melalui kerjasama rapat di antara kami danHPE, kami amat gembira dengan pencapaian ini dan para kakitangan kami yang gigih ini dapat berbangga mengenakan uniform yang baru tersebut.”
Idea terhadap uniform baru ini mula diilhamkan apabila AirAsia terlibat di dalam siri realiti, The Apprentice Asia. Sebagai cara menerapkan daya innovasi dan keusahawanan AirAsia, syarikat penerbangan tersebut telah memberikan cabaran kepada para peserta siri itu, untuk menghasilkan rekaan uniform, di mana pilihan yang terbaik akan dilaksanakan bagi kegunaan para AirAsia Allstars.
Konsep dan rekaan awal yang dihasilkan dibangunkan pula oleh Celest Thoi, yang juga merupakan pereka mentor bagi kumpulan yang memenangi cabaran tersebut . Celest ialah warga Singapura yang bertapak di Malaysia, dengan galeri dan koleksi busana sendiri.
Syarikat penerbangan itu memilih untuk bekerjasama dengan HPE Clothing yang berpangkalan di London dari segi rekaan & teknologi fabrik, dipilih berdasarkan keperluan pemakai dan keadaan persekitaran kerja. Uniform kakitangan Ramp dan Perkhidmatan Pelanggan menggabungkan teknologi utama HPE Clothing seperti FRESHFIT® dan KLEANFIT®, mengekalkan kebersihan dan keselesaan badan dalam apa jua keadaan.
Nicholas Harris, Pengarah Urusan HPE berkata:
“Saya berasa teruja untuk melancarkan koleksi inovatif dan istimewa untuk AirAsia. Setelah menjalankan kajian tempat kerja, rekaan yang sesuai telah dibangunkan untuk mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemakai. Menggabungkan teknologi fabrik, konstruksi benang, imbangan, bentuk dan rasa, setiap helai telah direkabentuk bagi memberikan fungsi, keselesaan dan gaya yang terbaik. Menerapkan fabric FRESHFIT® kami, uniform baru ini telah dibangunkan khas bagi membantu meningkatkan kesejahteraan tubuh menggunakan teknologi perak (silver technology), untuk mengelakkan pembiakan bakteria dan sistem pengurusan kelembapan bagi mengekalkan suhu badan.”
Uniform kakitangan pengendalian darat ini dihasilkan dengan mematuhi segala standard dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa penerbangan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pemakai.