AirAsia meneruskan pengembangan strategiknya ke pasaran Asia Timur Laut dengan pelancaran tiga laluan bebas kelima yang menghubungkan Taipei dan Kaohsiung dengan Jepun hari ini.
AirAsia X (kod penerbangan D7) akan mengendalikan laluan baharu dari Taipei ke Tokyo (Narita) bermula 31 Mei 2024, manakala Thai AirAsia (kod penerbangan FD) akan menghubungkan Taipei ke Okinawa bermula 15 Jun 2024 dan Kaohsiung ke Tokyo (Narita) pada 16 Jun 2024.
AAX akan mengendalikan laluan dari Taipei ke Tokyo (Narita) menggunakan pesawat berbadan lebar jenis Airbus A330 (termasuk A330 atau A330-300) yang mempunyai sehingga 377 tempat duduk, termasuk 12 tempat duduk Premium Flatbed manakala Thai AirAsia akan terbang dengan pesawat A320 yang mempunyai 180 tempat duduk, termasuk 42 Hot Seats.
Pelancaran laluan bebas kelima ini sejajar dengan fokus syarikat penerbangan ini yang menjadikan Taiwan sebagai hab virtual, yang menghubungkan para tetamu ke 130 destinasi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Timur Laut melalui rangkaian luas.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Kami berbangga untuk melancarkan laluan bebas kelima pertama pada tahun ini dari Taipei ke Tokyo yang merupakan bukti pemulihan ketara AAX. Jepun sentiasa menjadi salah satu destinasi utama bagi AAX dan pelancaran laluan ini merupakan komitmen kami kepada pasaran yang kompetitif dan untuk menawarkan perjalanan lebih mudah dan berpatutan. Selain itu, para tetamu kami yang terbang antara Taiwan dan Jepun juga dapat menikmati pengalaman perjalanan lebih selesa dengan tempat duduk Premium Flatbed. Kami percaya pelancaran laluan baharu ini dapat meningkatkan peluang industri pelancongan antara Taiwan dan Jepun, dan berharap untuk mengembangkan lebih banyak laluan pada masa hadapan.”
Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia, Santisuk Klongchaiya berkata: “Thai AirAsia berbesar hati untuk mengembangkan laluan kami dari Taipei dan Kaohsiung ke Jepun pada tahun ini, termasuk pelancaran laluan dari Kaohsiung ke Bangkok baru-baru ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para tetamu dari Taiwan atas sokongan berterusan mereka selama ini dan kami berharap untuk terus meneroka laluan tambahan antara Thailand dan Jepun.”
Berdasarkan statistik oleh Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun, industri pelancongan telah pulih kepada 80 peratus jumlah pra-pandemik, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 25 juta pelawat asing ke negara itu sejak tahun lepas. Dalam jumlah tersebut, penduduk Taiwan merupakan 4.2 juta membuktikan Jepun kekal sebagai destinasi pelancongan utama dari Taiwan.
Aya Kashiwagi, Pengarah Jabatan Ekonomi di Persatuan Pertukaran Jepun-Taiwan, menyatakan bahawa jumlah pelancong Taiwan yang melancong ke Jepun telah mencapai rekod baharu dalam tempoh pasca-pandemik. Mengikut statistik penginapan untuk pelancong asing di 47 wilayah di seluruh Jepun, penduduk Taiwan secara konsisten menduduki tempat teratas sebagai pelawat utama. Justeru, mereka menghargai sokongan Taiwan terhadap sektor pelancongan Jepun. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas pembukaan tiga laluan baharu ke Jepun dan berharap pelancong Taiwan akan terus menerokai lebih banyak destinasi menarik di Jepun melalui rangkaian baharu ini.”
Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, para tetamu AirAsia kini boleh menempah penerbangan antara Taipei dan Tokyo (Narita) dengan tambang promosi bermula TWD 1,888* sehala untuk tempoh perjalanan antara 31 Mei 2024 dan 26 Oktober 2024. Para tetamu juga boleh menikmati tambang promosi bermula TWD 888* sehala antara Taipei dan Okinawa untuk tempoh perjalanan antara 15 Jun 2024 hingga 26 Oktober 2024 atau antara Kaohsiung dan Tokyo dengan tambang promosi bermula TWD 1,888* sehala antara 16 Jun 2024 dan 25 Oktober 2024.
Tambang promosi ini boleh didapati bermula hari ini, 19 Mac 2024, pada jam 4:00 petang sehingga 31 Mac 2024, di airasia.com dan AirAsia MOVE, sebelum ini dikenali sebagai ‘airasia Superapp’.
Kumpulan AirAsia kini mengendalikan sembilan laluan dari Taiwan termasuk dari Taipei ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Bangkok, Chiang Mai, Manila, dan Cebu; serta dari Kaohsiung ke Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok. Dengan pelancaran tiga laluan baharu ini, AirAsia akan menawarkan 12 penerbangan terus dari Taiwan.