Penerbangan sulung, AK571, berlepas dari Kuala Lumpur hari ini pada pukul 11:00 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Da Lat Lien Khuong pada pukul 12:10 waktu tempatan, mencipta sejarah sebagai syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang menawarkan perkhidmatan langsung di antara Kuala Lumpur dan Da Lat.
Para tetamu penerbangan sulung ini disambut oleh Encik Nguyen Van Gia, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Awam Lam Dong; Encik Vo Van Phuong, Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Wilayah Duc Trong; Encik Abdul Hadi Che Man, Pengarah / Konsul Pelancongan, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia; Dato’ Fam Lee Ee, Pengarah AirAsia; Cik Nguyen Thi Hong Phuong, Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Lien Khuong; Encik Vo Ngoc Trinh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Wilayah Da Lat.
Ketua Komersial Serantau AirAsia Nattinee Tawanchulee berkata, “Kami teruja untuk menambah Da Lat sebagai sebuah destinasi terbaru kami dan untuk terus mengembangkan rangkaian kami di Vietnam. Perkhidmatan langsung yang baharu ini akan menyediakan hubungan udara tambahan kepada masyarakat di Central Highlands Vietnam untuk mengembara ke rantau ini, serta memperkenalkan Da Lat sebagai sebuah destinasi percutian kepada dunia. Da Lat turut dikenali sebagai Kota Musim Bunga kerana cuacanya yang nyaman dan Da Lat menerima pengunjung sepanjang tahun.”
Da Lat adalah destinasi ketujuh AirAsia di Vietnam selepas Hanoi, Ho Chi Minh City, Da Nang, Nha Trang, Can Tho dan Phu Quoc.
Untuk aktiviti terkini dan promosi AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).