Pihak pengurusan atasan dan Allstars (kakitangan) AirAsia X Berhad melawat Sekolah Komuniti Rohingya di Kampung Cheras Baru di sini pagi tadi untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama 50 orang pelajar etnik Rohingya untuk berkongsi kemeriahan perayaan di bulan Syawal.
Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad Benyamin Ismail, lebih daripada 20 orang anggota pihak pengurusan dan Allstars meraikan dan menghiburkan pelajar etnik Rohingya yang berusia antara tiga hingga 14 tahun dengan hidangan makanan yang lazat serta permainan dan aktiviti yang menarik.
Lawatan dimulakan dengan pasukan AirAsia X meninjau bangunan tiga tingkat lot kedai yang menempatkan sekolah yang telah beroperasi sejak 2009. Sekolah Komuniti Rohingya dikendalikan oleh organisasi kemanusiaan bukan kerajaan, Malaysian Relief Agency (MRA).
Selepas majlis mengalu-alukan kedatangan tetamu, Benyamin menyerahkan hamper kepada pihak sekolah yang diwakili oleh ketua setiausaha MRA Dr Shahrizal Azwan Samsudin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sejurus selepas itu, AirAsia X Fun Team memeriahkan lagi suasana dengan persembahan istimewa lagu-lagu untuk menceriakan lagi pelajar-pelajar itu, diikuti persembahan oleh pelajar-pelajar terbabit untuk pasukan AirAsia X sebelum mereka meluangkan masa dalam sesi permainan dan aktiviti menyeronokkan. Benyamin kemudian menyerahkan duit raya kepada pelajar yang menerimanya dengan penuh girang.
Benyamin berkata, “Menjadi satu kepuasan bagi kami melihat senyuman pelajar-pelajar ini dan menyaksikan mereka bergembira bermain dan berinteraksi dengan pasukan kami. Apa yang kami lakukan hanyalah usaha kami untuk membawa suasana keceriaan kepada kanak-kanak Rohingya pada musim perayaan.
“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada komuniti Rohingya di Malaysia dan mereka yang tinggal di negara lain. Kami berharap yang terbaik untuk kanak-kanak ini dan berdoa agar kehidupan mereka akan menjadi bertambah baik pada masa akan datang.”
Sekolah Komuniti Rohingya (SKR) diurus sepenuhnya oleh MRA dengan lima orang tenaga pengajar sepenuh masa dan dikelolai oleh seorang guru besar. Pelajar sekolah ini merupakan anak kepada 33 keluarga etnik Rohingya yang tinggal di beberapa penempatan di Kampung Cheras Baru dan kawasan berdekatan. Sekolah ini menawarkan akses kepada peluang pendidikan asas dari peringkat pra-sekolah hingga sekolah rendah untuk menyediakan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal untuk membangunkan pengetahuan, kemahiran dan personaliti untuk menghadapi cabaran dunia pada masa kini.
Antara aktiviti – aktiviti yang dijalankan adalah seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Kokurikulum Pendidikan Seni, Kelas Memasak, Pendidikan Islam dan sebagainya. Pendidikan formal diterapkan sebaik mungkin dengan harapan agar ada di kalangan kanak – kank ini boleh melanjutkan pengajian ke peringkt universit atau sekurang – kurangnya dapat membaca dengan baik agar mereka dapat memahami apa yang mereka tandatangani. Usaha menjalankan sekolah ini dapat diteruskn melalui sumbangan para penderma yang budiman.
Sebarang pertanyaan lanjut tentang bantuan sumbangan dana kepada sekolah ini, sila layari http://www.mra.my atau hubungi 03-91744672. Dapatkan maklumat tentang promosi dan aktiviti terkini AirAsia melalui Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).