AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang dilengkapi sistem INTERPOL I-Checkit. Inisiatif penting bagi menangani jurang keselamatan antarabangsa berkenaan pasport yang dicuri
Sebagai sebahagian dari usaha dalam memperkukuh sekuriti perjalanan antarabangsa, AirAsia akan menerajui sistem INTERPOL I-Checkit bagi mengimbas kesemua pasport para penumpang dengan pangkalan data badan polis dunia bagi Kecurian dan Kehilangan Dokumen Perjalanan (Stolen and Lost Travel Documents: SLTD).
Akan diimplimentasikan pada akhir bulan ini, projek perintis ini akan menyaksikan AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia untuk menggunakan sistem I-Checkit dalam sistem daftar masuk AirAsia. Nombor pasport para penumpang akan dibandingkan dengan pangkalan data SLTD dari INTERPOL yang mengandungi lebih daripada 40 juta rekod kehilangan pasport dari 167 negara di seluruh jaringan antarabangsanya.
I-Checkit membenarkan sesebuah syarikat penerbangan untuk menyemak dengan pangkalan data SLTD tanpa mendapat akses langsung kepada keseluruhan data tersebut. Nombor dokumen perjalanan, jenis dokumen dan kod negara akan disemak dengan SLTD. Jika terdapat pasport penumpang yang menunjukkan persamaan yang positif dengan pangkalan data SLTD, AirAsia mempunyai prosedur yang telah diatur untuk merujukkan penumpang tersebut kepada pihak berkuasa tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, berkata :
“AirAsia bangga menjadi syarikat penerbangan pertama yang berkerjasama dengan INTERPOL untuk melaksanakan sistem I-Checkit. Kerjasama yang terjalin akan meningkatkan keselamatan para penumpang dan menyokong misi kami untuk terus menawarkan tambang rendah dengan jaminan tambahan yang ditawarkan oleh sistem I-Checkit melalui kolaborasi ini. Sistem I-Checkit akan disediakan di seluruh operasi antarabangsa AirAsia, meliputi jaringan di 100 lapangan terbang di Asia dan 600 penerbangan antarabangsa setiap hari.”
Jika terdapat penyamaan yang positif didaftarkan melalui I-Checkit, amaran bagi pengesahan seterusnya akan dihantar ke INTERPOL National Central Bureau (NCB), Negara yang memiliki dokumen perjalanan tersebut, dan juga ke Ibu pejabat Sekreteriat Umum INTERPOL di Lyon, Perancis.
“INTERPOL sangat berbangga dapat berkerjasama dengan AirAsia dalam merintis projek I-Checkit dan meningkatkan lagi langkah sekuriti menerusi sistem ini,” kata Ketua Setiausaha INTERPOL, Ronald K. Noble.
“AirAsia bukan sahaja komited untuk meningkatkan keselamatan para penumpang tetapi juga keselamatan masyarakat awam seluruh dunia dengan memastikan kesemua penumpang yang menaiki pesawatnya telah diimbas secara sistematik dengan pangkalan data INTERPOL yang mengesan kecurian dan kehilangan passport,” tambah Ketua Setiausaha INTERPOL itu.
Hanya terdapat kurang dari 10 negara yang menyemak pasport penumpang dengan SLTD, di mana lebih kurang 4 daripada 10 pasport penumpang antarabangsa tidak disemak dengan pangkalan data INTERPOL.
I-Checkit dicipta untuk memperkukuhkan dan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang nasional untuk mengelakkan pergerakan penjenayah dengan menggunakan infrastruktur syarikat penerbangan yang sedia ada di peringkat antarabangsa bagi menyemak maklumat passport dengan pangkalan data INTERPOL.
Sistem tersebut mengambil masa kurang dari 0.5 saat bagi menyemak data passport dengan pangkalan data INTERPOL selepas pasport diimbas.