Banyak adegan yang beratS dan memerlukan pelakon bermain dengan emosi antara kelainan yang dijanjikan dalam drama bersiri terbaharu bakal menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Air Mata di Bumi Matador”.
Menariknya lagi, drama bersiri 26 episod yang akan mula ditayangkan pada 30 Mei ini, melibatkan 50 peratus penggambaran di Sepanyol. Drama arahan, Rahila Ali ini disiarkan pada jam 8.30 malam, setiap Rabu dan Khamis di TV2.
Dibarisi pelakon Puteri Aisyah, Nazrief Nazri, Ben Amir, Eyka Farhana, Shakilla Khoriri dan Arash Mohamad, ia berkongsi memaparkan kisah seorang gadis yatim piatu bernama Qaisara yang terpaksa membatalkan perkahwinan dengan Iskandar, kekasihnya semenjak dari sekolah.
Kecewa dengan peristiwa itu, dia kemudiannya membawa hatinya yang kecewa ke Sepanyol. Di sana Qaisara cuba melibatkan diri dengan kerja-kerja amal yang diyakini dapat membuatkan dirinya melupakan kenangan pahit antara dirinya dengan Iskandar.
Sementara itu seorang penuntut Malaysia bernama Adib yang turut melakukan kerja-kerja amal berjaya mengisi kesunyian Qaisara. Meskipun sukar untuk dirinya kembali menerima cinta daripada seorang lelaki namun kehadiran Adib berjaya mengubah pendiriannya itu. Baginya keikhlasan Adib berjaya meyakinkannya untuk kembali bahagia bersama insan yang disayang.
Namun konflik berlaku apabila cinta baru antara Qisara dan Adib mula berputik, Iskandar datang ke Sepanyol dan menuntut cintanya kembali. Situasi itu mengejutkan Qaisara yang sememangnya masih dibuai cinta lama bersama Iskandar. Dia mula keliru memilih antara Iskandar atau Adib.
Kesudahannya Qaisara memutuskan untuk kembali ke tanah air dan berkahwin dengan Iskandar. Baginya ia peluang kedua yang tidak seharusnya dipersiakan. Dia mahu membina semula bersama lelaki dicintai sepenuh hatinya itu.
Akan tetapi jodoh sememangnya di tangan tuhan. Kali ini juga impiannya membina mahligai bahagia bersama Iskandar tidak kesampaian. Iskandar meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan.
Sekali lagi Qaisara jatuh terduduk. Impiannya musnah sama sekali. Setelah jiwanya kembali tenang dan mula redha dengan ketentuan Allah, Qaisara kembali membawa diri ke Sepanyol dan memulakan kehidupan dengan semangat baru.
Kunjungannya ke sana sememangnya dinantikan oleh Adib. Nekad tidak mahu kehilangan gadis yang dicintainya sekali lagi, Adib terus melamar Qaisara. Namun malangnya Qaisara menolak kerana sudah serik dengan jodah yang tidak kesampaian. Rakan-rakan di sekelilingnya cuba menasihati Qaisara untuk memberi peluang kepada Adib untuk membahagiakannya.
Adakah hubungan mereka kembali bersatu? Ikuti kesudahannya di TV2.