[dropcap]P[/dropcap]ada jam 3 petang kelmarin, dalam menghadapi jadual yang sangat padat, Budiey masih lagi berpeluang untuk menghadiri Majlis Pelancaran Album Mini Ainan Tasneem yang berjudul Aku Suka Dia yang berlangsung di di Hotel Royal. Tahniah Budiey ucapkan kepada Ainan Tasneem di atas pelancaran ini. Setelah berusaha gigih menghasilkan lagu dan merakamnya, akhirnya penyanyi ini dah dapat melihat hasilnya. Ada 5 buah lagu yang best dan selesa didengari dan ia diterbitkan oleh syarikat MVM Productions.
Semasa ditanya media, Ainan Tasneem bertegas untuk tidak bergambar secara berdua-duaan dengan artis lelaki termasuklah untuk sesi fotografi media.Ini juga menjadi syarat yang diletakkan oleh bapanya. Bukan apa, ini adalah baik. Dapat mengelak daripada fitnah dan spekulasi buruk.
[pullquote align=”right”]Ainan Tasneem juga menepis dakwaan kononnya dia sudah pandai demand ekoran banyak undangan persembahan yang ditawarkan kepadanya ditolak begitu saja.[/pullquote]
Ainan mendedahkan dia pernah menolak satu tawaran persembahan walaupun pihak penganjur menjanjikannya bayaran yang cukup lumayan. Ainan mengakui sedikit terkilan dengan tindakannya itu. Namun gadis yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Perlis dalam jurusan Kejuruteraan Bio Proses ini menegaskan dia punya sebab tertentu mengapa dia terpaksa menolak banyak undangan persembahan.
Menurut Ainan, album yang dilancarkan itu adalah untuk memenuhi permintaan peminat yang sering bertanya tentang perkara itu kepadanya. Jelasnya, walaupun hanya memuatkan lima buah lagu dia akan tampil dengan album penuh pada penghujung tahun ini dan akan mempelbagaikan genre muzik untuk pendengar. Antara lagu yang dimuatkan adalah Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 21, berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah selain ingin menjaga nama baik keluarganya.
“Saya bertekad untuk tampil bersih dan tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi termasuk bergambar dengan artis lelaki kecuali secara beramai-ramai. Keputusan itu dibuat bagi menghargai kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh keluarga untuk saya bergiat aktif dalam bidang nyanyian.”
Dalam perkembangan sama, bapa kepada Ainan iaitu Dr Ridzuan Mohd Sagir yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pada mulanya dia keberatan untuk membenarkan anaknya itu terlibat secara serius dalam bidang nyanyian.
Ini kerana katanya dia lebih suka melihat Ainan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Bioproses sehingga tamat.
“Lama saya mengambil masa untuk memberi keputusan namun melihat kepada penerimaan peminat dan yakin dia dapat menjadi contoh kepada remaja yang lain, saya benarkan. Pun begitu saya meletakkan beberapa syarat seperti menjaga maruah diri, merendah diri dan bersederhana supaya dia sentiasa ingat tujuan asal untuk bergelar penyanyi.”
Tambah Ridzuan, sejak di bangku sekolah rendah lagi anaknya itu memang gemar menyanyi dan banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan negeri.
Tahniah Ainan Tasneem!