Sebaliknya, penyanyi Terus Hidup itu menjelaskan bayaran dikenakan adalah setimpal dengan usaha dan persediaan dilakukan untuk acara berkenaan.
“Beginilah saya sebelum membuat persembahan. Saya disiapkan oleh pasukan yang mementingkan kesempurnaan dan ia mengambil masa berjam-jam.
“Persiapan bukan sahaja dari segi pakaian, tetapi juga solekan, jurufoto, juruvideo dan sebagainya. Kiranya semuanya sekali dalam satu pakej.
“Semua ini membabitkan kos dan saya berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Justeru, harga yang dikenakan adalah setimpal, bukannya mahal,”
Terdahulu, tular dalam media sosial apabila ada pihak mendakwa pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu menerima bayaran mahal berbanding artis lain yang turut diundang menjayakan acara di Melaka, baru-baru ini
Aina ditemui pada sidang media pengumuman peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38, baru-baru ini.
Lagu ciptaan Aina berjudul Jangan Mati Rasa Itu tersenarai antara 30 calon yang bakal merebut tempat ke malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac depan.
Sementara itu, mengulas kejayaan lagu Jangan Mati Rasa Itu tersenarai ke peringkat separuh akhir, pemilik vokal mantap ini mengakui, ia memberi sedikit tekanan buatnya.
Bagaimanapun, katanya, ia turut memberi semangat kerana acara berprestij itu memberi peluang menzahirkan kreativiti.
“Sudah tentu ia memberi sedikit tekanan terutama bila memikirkan jangkaan peminat.
“Bagaimanapun, kejayaan awal ini turut memberi semangat kepada saya dan pasukan kerana AJL memberi ruang untuk kami berkarya,” ujarnya.
Tahun lalu, Aina mencatat rekod peribadi apabila lagu Terus Hidup nyanyian dan ciptaannya diangkat sebagai juara AJL 37.