Muzik video dua dalam satu yang memaparkan lagu Maybe dan Kelip-Kelip itu mendapat pujian peminat.
Rata-rata memuji kelainan yang dibawa Aina dan berpendapat penyanyi Sumpah ini boleh melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian dan penulisan lirik.
“OMG, Brilliant! MV 2 in 1…memang padu Aina Abdul ni. Macam nilah artis berkualiti. Walaupun bereksperimen tapi mantap!
“Dia guna lagu zaman kanak-kanak kita je weh! Twinkle-twinkle Little Star…Macam manalah dia boleh terfikir? Sedap kot!,” antara komen warganet di saluran Youtube Aina.
Sementara itu Aina berkata muzik video dan dua lagu barunya itu merupakan kejutan yang dirancang untuk peminat.
“Saya mula menulis Maybe dan Kelip-Kelip ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Lagu-lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh saya sendiri dan ia menonjolkan sisi berbeza saya sebagai Aina Abdul.
“Jika sebelum ini menerusi Sumpah dan Semalam, saya mempertaruhkan lagu balada yang bernada perlahan, lagu Maybe dan Kelip-Kelip menjanjikan satu kelainan,” kata Aina.
Bercerita mengenai Maybe yang mengangkat genre pop balada, lagu tersebut mengisahkan tentang cinta yang bertepuk sebelah tangan.
“Tajuk Maybe dipilih untuk menonjolkan keunikan lagu ini. Biarpun menggunakan tajuk dalam perkataan Bahasa Inggeris, lirik lagu ini ditulis dalam Bahasa Melayu. Proses menyiapkan lagu ini mengambil masa selama sebulan sahaja.
Seterusnya, lagu Kelip-Kelip yang mengambil inspirasi dari melodi lagu kanak-kanak popular Twinkle Twinkle Little Star pula membuatkan Aina keluar dari zon selesa.
“Kelip-Kelip bukan berentak balada tapi lagu rancak dengan penambahan koreografi, menjadikan ia satu pengalaman baru bagi untuk saya.
“Runut ‘Twinkle Twinkle Little Star’ menjadi tunjang idea saya sewaktu permulaan pembikinan lagu ini.
“Perbezaannya adalah persepsi lagu kanak-kanak itu ditafsirkan sebagai happy song dan dekat di hati kanak-kanak. Saya cuba twist idea dengan memasukkan elemen cinta dalam mengiring melodi Twinkle Twinkle Little Star itu.
“Idea lagu Kelip-Kelip adalah untuk menggambarkan situasi seseorang yang cuba untuk move on dari masa silam setelah dikhianati dalam hubungan percintaannya,” katanya lagi.
Gigih Diet Demi Lagu Baharu, Hilang 6kg dalam Masa Yang Singkat
Penyanyi, Aina Abdul sanggup menahan lapar, berdiet dan melakukan senaman demi memperlihatkan penampilan meyakinkan untuk dua lagu baharunya.
Diet dan senaman yang dilakukan setiap hari membuahkan hasil apabila penyanyi yang popular menerusi lagu Sumpah itu dapat menurunkan berat badan kira-kira enam kilogram (kg) dalam tempoh yang singkat.
Melawan arus kebiasaan, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani akan melancarkan dua single, Maybe dan Kelip2 secara serentak pada 27 Ogos lalu.
Penggambaran video muzik dua lagu ciptaan Aina sepenuhnya itu disatukan dalam satu video dan penggambaran dilakukan sekitar Pantai Bagan Lalang dan Pulau Indah, Klang, baru-baru ini.
Menampilkan kelainan pada penampilan diri, gadis kelahiran Negeri Sembilan itu semakin berani dengan gaya dan fesyen. Menggunakan khidmat pasukan Glam, Nazlivingastyle, Sahir Sabri, Ahma Dani dan Zizi Hadid ia menampilkan sisi berbeza Aina.
“Diakui, saya lebih yakin menerokai fesyen selepas menurunkan berat badan. Jika ikutkan, saya mahu melakukan diet lebih ekstrim untuk menurunkan berat. Tetapi, memadai kehilangan enam kg dan saya boleh memakai pelbagai rekaan baju.
“Idea video muzik dan fesyen ini memang dibincangkan bersama. Malah, kami banyak melihat rujukan luar negara termasuk video muzik penyanyi K-pop.
“Saya juga menggabungkan dua lagu dalam satu video muzik. Untuk membezakan setiap lagu, kami mempersembahkan mainan piano secara interlud daripada Wong Slyvia,” katanya kepada BH Online.
Untuk bahagian video muzik lagu Kelip2, Aina berkata, dia juga menunjukkan kebolehannya menari.
“Ia satu perkara yang tak pernah saya buat, sebelum ini. Saya cuba menari. Sebenarnya, zaman sekolah saya menjadi penari kebudayaan. Rentak tari santun dan perlahan.
“Bagaimanapun, saya cabar diri menari gaya moden dengan bantuan pereka tari, Boojae Fadzil selepas beberapa tahun,” katanya.
Aina berkata, dia merakamkan single Maybe dan Kelip2 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.
“Idea mahu menghasilkan dua lagu ini difikirkan sebelum PKP lagi. Untuk kelainan, saya terfikir meletakkan lirik berbunyi Twinkle Twinkle Little Star untuk mendekati peminat lebih muda.
“Sebelum ini, lagu saya lebih banyak diminati pendengar berusia antara 20 hingga 30 tahun. Jadi, saya cuba nak keluarkan satu lagu yang boleh dinikmati golongan muda dan dewasa pada satu masa.
“Proses menyiapkan rakaman dua lagu ini juga dipermudahkan kerana dibantu teman seperti Affan dan Wan Zakaria selaku penerbit. Begitu juga untuk bahagian ‘mixing’ dan ‘mastering’ dilakukan Zack. Ada antara mereka pernah bekerjasama dengan saya menerusi lagu Sumpah dan Semalam,” katanya.
Sumber: BH Online