Aina ditemui usai kejayaan konsert terbabit yang dihadiri lebih 10,000 peminat berkata, seramai 40 krew ditugaskan untuk menyiapkan setiap persalinan yang ditampilkan dengan masa terhad.
“Kelima-lima busana yang digayakan saya hanya sempat buat percubaan sekali saja. Itupun sewaktu sesi raptai penuh yang berlangsung semalam (Jumaat).
“Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
“Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung. Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang,”
– AINA ABDUL
Ditanya mengenai gaun bewarna biru yang mengeluarkan kepulan asap sewaktu persembahan, Aina berkata, busana itu adalah rekaan khas daripada Zaimi Zulkifli.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali yang bertindak sebagai penganjur konsert berkata, kos keseluruhan konsert Aina Abdul 3.0 menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.
“Konsert ini adalah percubaan pertama kami bekerjasama dengan Aina. Tapi saya amat bersyukur kerana kami memiliki keserasian yang baik dan semua masalah berjaya diatasi bersama.
“Seperti yang anda semua sedia maklum, konsert ini juga adalah kali pertama saya bekerjasama dengan artis tempatan dan Aina berjaya membuktikan kesungguhannya untuk memastikan konsert ini berjaya.
“Semoga kami mempunyai rezeki untuk terus berkolaborasi pada tahun depan. Menerusi konsert ini hampir 98 peratus tiket terjual dan kira-kira 10,000 penonton yang hadir,” katanya.
Konsert Aina Abdul 3.0 berjaya membuktikan kehebatan vokal Aina yang tiada tandingan apabila menyanyikan 34 lagu pada acara itu.
Konsert ANWAA 3.0 yang dijayakan melalui kerjasama dengan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) turut menyaksikan Aina menyarung semula busana berkonsepkan awan yang pernah dipakai pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 tatkala menyanyikan lagu Terus Hidup, yang juga segmen penutup konsert.
Sebanyak 34 lagu didendangkan Aina pada konsert tiga jam itu. Antara lagu dinyanyikan adalah Ghost. Fool, Kamu, Bleed, Shadow, Sumpah,Bilang, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Sepi, Nada Kalbu dan Semalam.
Tidak ketinggalan, Pejam, Mimpi Kita, Jangan Mati Rasa Itu termasuk medley K-pop hits, I Will Go Tou You Like The First Snow, This Love, Shut Down dan How You Like That.
Penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor ini turut mengundang rasa sebak peminat apabila mengalunkan lagu berirama melankolik, Atouna El Toufoule yang ditujukan kepada rakyat Palestin.
Tidak hanya beraksi solo, Aina berpadu suara dengan tiga penyanyi lelaki iaitu Khai Bahar, Haziq Rosebi dan Lah Ahmad.
Persembahan Aina malam itu diiringi pemuzik berpengalaman di bawah pimpinan pengarah muzik, Mac Chew dan dibantu Jenny Chin.
Konsert yang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 penonton itu adalah rentetan dua konsert lalu iaitu ANWAA1.0 pada 2021 dan ANWAA2.0 di Istana Budaya (IB) di sini, tahun lalu.