Perjalanan AF8 telah bermula dengan pembukaan Tirai Konsert yang memperkenalkan imej & vokal pelajar dengan gaya yang tersendiri. Tapi dalam ramai-ramai pelajat, peserta dari Sandakan Sabah, Ain dikatakan mempunyai kelebihan dan aura yang begitu mantap sehingga menarik semua juri memuji beliau.
Sukar dijangka sebenarnya siapa yang bakal menonjol sebagai juara kerana segala kemungkinan boleh saje berlaku.
Video Ain menyanyikan lagu Miley Cyrus – The Climb
Saingan bakal lebih sengit
MUSIM baru Akademi Fantasia (AF) sudah pun bermula dengan berlangsungnya konsert Tirai AF di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, pada 13 Mac lalu. Malam itu, seramai 12 pelajar AF8 cuba menonjolkan keupayaan masing-masing, dalam persaingan awal meraih undian.
Namun, perhatian nyata menjadi milik peserta dari Sandakan, Nadiawaty Ainul Basir (Ain) yang menaiki pentas sebagai peserta terakhir, menyampaikan lagu The Climb, nyanyian asal Miley Cyrus. Sebelum tiba gilirannya menunjukkan bakat di pentas utama, mata penonton sebenarnya sudah bertumpu pada wanita berusia 24 tahun ini setiap kali dia bertindak sebagai penyanyi latar, membantu persembahan rakan yang lain. Paling tidak, ketika itu Ain menarik perhatian ramai dek penampilan, rupa paras serta kebijaksanaannya ‘membawa diri’.
Penantian penonton nampaknya tidak merugikan apabila Ain mengambil tempat di tengah pentas. Penuh keyakinan dan disertakan dengan vokal yang baik, Ain tidak mempunyai masalah untuk menggamit sokongan daripada peminat yang datang, menerusi persembahannya yang mantap.
Pengkritik tetap, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie, serta pengkritik undangan, Ning Baizura, juga nyata gembira dengan persembahan memberangsangkan peserta berkenaan. Ning menganggap persembahan Ain adalah yang terbaik pada konsert pengenalan itu, mengetepikan saingan 11 pelajar AF8 yang lain.
Lalu, tumpuan peminat rancangan realiti popular ini tentunya kini sedikit sebanyak terarah pada pelajar yang boleh diumpamakan seperti peserta pertandingan ratu cantik terbabit. Namun , Ain harus lebih bersedia pada minggu depan kerana saingan daripada beberapa pelajar lain termasuk Zafarina Jamhari (Farina), Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein (Shah), serta peserta adik-beradik, Erma Suhaimi (Ema) dan Siti Adira Suhaimi (Adira) usah dipandang remeh.
Muhammad Alif Kadim atau Alif yang menyampaikan lagu Kris Allen, Live Like We’re Dying, juga mempunyai potensi untuk menghadirkan saingan sengit bagi pelajar lain pada musim ini. Persembahannya tidak menghampakan, serta mendapat pujian juri. Kata Adlin, Alif memiliki vokal belum pernah ditemui dalam AF, manakala Ning menganggap suaranya penuh berpotensi. Aznil pula memuji keberanian peserta dari ibu kota itu menggunakan pentas dengan baik.
Pelajar lain yang turut mengadakan persembahan pada konsert pertama mereka ialah Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), Muhd Shahril Firdaus Eli (Daus), Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), Nadia Emilia Roselan (Nad), Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan) dan Ahmad Shahir Zawawi (Shahir).
Selain daripada pelajar yang berasakan bahang kali pertama menaiki pentas konsert AF, dua pengacaranya, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley juga berasakan pengalaman serupa.
Pada ketika Sarimah kelihatan lebih selesa, mungkin dek pengalamannya yang lebih luas dalam bidang pengacaraan, Jimmy pula menunjukkan wajah yang agak ‘cuak’ ketika mengendalikan program siaran langsung itu buat julung kali.
Pengetua bangga
NORMAN Abdul Halim yang memikul tanggungjawab sebagai pengetua AF8 melahirkan kegembiraan dengan persembahan pelajar pada konsert pengenalan berkenaan.
Katanya, paling tidak, sepuluh daripada 12 pelajar terbabit menunjukkan persembahan yang memberangsangkan, dengan tiga atau empat daripadanya pula selangkah di hadapan peserta lain.
Menurut Norman, banyak perubahan ditunjukkan peserta apabila muncul pada konsert pengenalan itu, dari segi keyakinan dan kemampuan menguasai pentas.
Kelebihan itu pastinya memudahkan lagi tenaga pengajar memperbaiki keupayaan masing-masing, apabila sesi pembelajaran bermula secara rasmi.
Katanya, pada konsert berkenaan, pelajar diberikan peluang memilih genre lagu kesukaan masing-masing. Begitupun, bermula Sabtu ini, mereka akan tampil menyanyikan lagu pilihan tenaga pengajar dan pengetua rancangan itu. Proses berkenaan bakal memperlihatkan kecenderungan seseorang peserta serta kelebihan mereka pada sesuatu genre muzik.
“Secara ringkasnya, saya percaya persaingan pada musim kali ini adalah lebih sengit. Undian peminat untuk peserta dari Sabah juga pastinya akan pecah apabila wujudnya empat peserta dari negeri itu dalam musim terbaru ini. Keadaan itu tentu saja melahirkan suasana persaingan lebih menarik pada AF8,” kata Norman yang berazam melahirkan penyanyi yang mampu bertahan lama dalam industri muzik. [sumber]