Aiman berkata, restoran yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu dibuka sebagai hadiah buat kedua-dua orang tuanya yang sebelum ini, turut menjalankan perniagaan yang sama di lokasi berdekatan.
Penyanyi berusia 21 tahun itu berkata, selain mengembangkan lagi perniagaan mereka, dia berharap usahanya itu juga akan memberi keselesaan kepada ibu dan bapanya pada masa depan.
“Alhamdulillah, saya dapat membuka sebuah lagi kedai makan untuk ibu dan bapa selepas usaha pertama membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Sebagai selebriti, saya perlu membuat persediaan masa depan kerana kita tidak mampu meramal apa yang akan berlaku nanti. Perniagaan ini saya lihat sebagai antara usaha untuk memberikan keluarga hidup selesa,”
Aiman atau nama lengkapnya, Muhammad Aiman Yusri berkata, restoran baharu itu menyediakan lauk-pauk untuk juadah tengah hari dan beberapa menu berbeza cawangan pertama.
“Jika ada kelapangan, saya akan luangkan masa di restoran ini kerana mahu lebih dekat dengan peminat,”
Mengenai kesihatannya, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci yang sepatutnya menjalani pembedahan membuang tonsil pada Oktober lalu berkata, dia mengambil keputusan untuk menangguhkannya.
Bimbang risiko, terutama perubahan pada suaranya, Aiman berkata, dia hanya bergantung kepada bekalan ubat, selain menjalani pemeriksaan setiap bulan untuk memastikan masalah itu tidak berlarutan.
“Saya tidak jadi membuat pembedahan, sebaliknya doktor membekalkan ubat bagi mengawal masalah itu daripada berulang.
“Bimbang juga jika membuat pembedahan, ia akan memberi kesan kepada suara. Saya juga mengelak daripada terlalu memaksa ketika membuat persembahan kerana tidak mahu mencederakan tekak.
“Buat masa ini, saya perlu pandai menguruskan jadual supaya badan mendapat rehat yang cukup,” kata Aiman.
Sumber: Berita Harian