in

AIFFA 2013 Gelanggang Pembikin Filem Serantau Berkampung

Lanskap industri perfileman tanahair bakal dimeriahkan dengan penganjuran Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 (AIFFA 2013) dari 28 hingga 30 Mac. Acara 3 hari yang bakal diadakan di negeri Sarawak Bumi Kenyalang ini bukan sahaja akan mengumpulkan penggiat seni perfileman serantau, malahan pembikin filem dari Hollywood dan Bollywood.

AIFFA2013

Bertujuan untuk menjadi wahana perkongsian ilmu demi memartabatkan industri perfileman Asia Tenggara, AIFFA juga akan menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia khususnya Sarawak sebagai salah satu lokasi pengambaran filem pilihan pengarah-pengarah sedia ada.

Kolaborasi dan kerjasama di antara Kementerian Pelancongan Sarawak, Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam menganjurkan acara ini memperlihat usaha pihak terlibat memartabatkan industri perfileman Malaysia di mata dunia.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Malaysia, Datuk Joseph Salang di Hotel Royale Chulan Jumaat lalu, AIFFA 2013 sudah pun menerima maklum balas positif dari pembikin filem sekitar Asia Tenggara. Pelancaran AIFFA 2013 turut dihadiri Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dan Setiausaha Kementerian Pelancongan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.

Livan Tajang, Pengarah Festival AIFFA 2013 berkata:

“Banyak yang akan kita bawakan nanti di AIFFA 2013. Kita sudah pun menerima penyertaan sewaktu kita membuat promosi di Indonesia baru-baru ini. Walaupun AIFFA 2013 baru sahaja rasmi dilancarkan, namun maklum balas yang kita terima amat memberangsangkan dan kita percaya lebih banyak karya akan menyertai AIFFA 2013.”

Bakal dimeriahkan dengan kehadiran ramai seniman berpengaruh dari rantau Asia Tenggara, Hollywood mahupun Bollywood, AIFFA 2013 turut menampilkan seminar dan pameran mengenai dunia perfileman tempatan dan luar negara.

Menariknya AIFFA 2013, satu anugerah khas iaitu Spirit of Asean bakal diberikan kepada filem serantau yang berjaya memaparkan identititi Asia Tenggara melalui olahan cerita serta elemen-elemen lain yang dilihat mampu untuk mengangkat martabat karya Asia Tenggara ke peringkat yang lebih tinggi.

Kawasan sekitar Kuching, Sarawak seperti Kampung Budaya bakal menjadi saksi berlangsungnya acara berprestij ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang acara ini, anda boleh melayari www.aseanfilmfest.com. Selain itu, beberapa pertandingan seperti filem pendek juga turut sama diadakan bagi menambah kerancakan dan kemeriahan AIFFA 2013.

Turut hadir sewaktu sidang media AIFFA 2013 baru-baru ini ialah selebriti tempatan seperti Sofea Jane, Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Radhi Khalid dan ramai lagi. Selain itu, presiden Seniman Zed Zaidi dan beberapa pengarah filem tempatan dan serantau hadir sama memeriahkan majlis serta memberikan sokongan padu mereka terhadap penganjuran AIFFA 2013.

Apa kata mereka?

Vanida Imran
Penganjuran festival sebegini bagus untuk tampilkan produk-produk kita mahupun serantau. Ia juga membuka mata orang ramai mengenai kepelbagaian budaya yang ada di negeri Sarawak yang patut kita tonjolkan. Elemen budaya inilah yang orang luar nak tahu tentang negara kita. Tambahan pula, sekarang adalah masa di mana peminat filem suka akan karya yang berunsur kemanusiaan dan kisah benar, dan saya pasti kebudayaan adalah cara terbaik untuk kita tonjolkan Malaysia.

Raja Azmi
Satu tindakan yang berani dari penganjur untuk anjurkan festival yang sebegini besar. Saya puji usaha mereka untuk tampil dengan acara sebegini. Pada mulanya, saya ingatkan acara ini adalah untuk menggantikan Festival Filem Asia Pasifik yang saya dengar akan dimansuhkan tapi rupa-rupanya ia adalah satu acara baru. Saya berharap agar acara ini mampu untuk dilaksanakan dengan baik dan saya tak sabar untuk tengok hasilnya nanti.

Dipetik dari GUA Malayaia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Perkhidmatan Astro On-The-Go Kini Di Seluruh Dunia

Tabung TV3 Bersamamu Terima Sumbangan Daripada Julie’s