Seorang jejaka yang berusia 26 tahun itu mempertaruhkan single pertama ciptaannya setelah enam tahun menyimpan hasrat untuk menjadi seorang singer-songwriter akhirnya kini menjadi realiti. Menampilkan imej kemas dan berketerampilan moden, Aidil Maula lebih selesa membawakan lagu bergenre balada dengan suntikan moden.
Ditanya mengenai signifikasi pemilihan tarikh tersebut, Aidil Maula memberitahu bahawa bulan Ogos merupakan bulan istimewa buat dirinya. 24 Ogos merupakan tarikh kelahirannya dan banyak kejadian menarik berlaku pada bulan bertuah itu.
PEDIH, merupakan sebuah lagu balada yang diilhamkan dari pengalaman sebenar. Pernah kecewa dalam percintaan yang diibaratkan sebagai sebuah kisah percintaan yang tulus dan suci, akhirnya kecundang tanpa alasan yang kukuh dan juga ego. Namun, kekecewaan tersebut ditukar menjadi sebuah kisah yang menarik apabila sesi meluahkan perasaan dibawa ke sesi ‘jamming’ secara suka-suka.
“Adry yang juga merupakan rakan komposer muda, mula memainkan piano selepas saya menceritakan kisah sedih saya dan kemudian lirik masuk secara spontan. Kejadian lebih 3 tahun lepas itu takkan saya lupakan.
Siapa sangka, dari ‘jamming’ macam biasa sahaja, lepas simpan 3 tahun dan berjumpa dengan komposer yang berbakat besar, akhirnya lagu ini keluar juga!”
– Aidil Maula
Begitulah respon Aidil Maula apabila bertanya mengenai lagu yang akan diperdengarkan kepada umum pada 21 Ogos ini.
Lagu ini turut mendapat khidmat ‘arranger’ muzik tempatan, Rafik Koncept dari The Koncept Lab bagi menyiapkan lagu ini dengan lebih sempurna.
Setelah tergendala akibat PKP Covid-19, akhirnya Aidil Maula menghidupkan kembali cita-citanya untuk terus berjaya dalam bidang seni suara tanah air. BELIEVE DIGITAL Distribution merupakan pengedar muzik digital buat Aidil Maula yang kini bergerak secara solo.
Menyimpan hasrat untuk menyertai pertandingan BIG STAGE anjuran penyiar terulung Malaysia, ASTRO; Aidil kini dalam perancangan untuk menyiapkan muzik videonya yang telah lama diidamkannya. Dia sering mengimpikan untuk bersaing di pentas lokal dan dikenali kerana bakat dan juga hasil seninya.
Selain dari boleh menyanyi, Aidil juga merupakan bekas arkitek dan pereka hiasan dalaman dan kini dia masih bekerja di sebuah agensi perkhidmatan latihan di Kuala Lumpur. Anak muda ini berharap akan berjaya menembusi pasaran seni tanah air sekaligus memperkenalkan dirinya sebagai seorang penghibur.
Mengidolakan kejayaan penyanyi Indonesia Gamaliel dan Afgan, Aidil turut menyimpan hasrat agar mampu menghasilkan lagi-lagu yang menjadi siulan ramai tidak lama lagi.
Tuah Aidil Maula kerana sebuah syarikat pengeluar produk teknologi, EDIFIER Malaysia ingin bekerjasama dalam melancarkan single pertamanya bertajuk PEDIH itu. Pelbagai aktiviti kerjasama dengan pihak EDIFIER akan dikeluarkan di laman sosial milik Aidil Maula dan juga EDIFIER Malaysia.
Sebuah usahasama dalam menggalakkan penglibatan anak muda di dalam industri seni suara tanah air ini patut dipuji kerana kerjasama seperti ini yang diperlukan dalam industri untuk terus maju dan saling memberi sokongan antara satu sama lain.
Mengambil serius soal teknik vokal, Aidil Maula juga turut menyertai kelas vokal bersama Adeep Nahar atas saranan rakan-rakan dari dunia seni suara. Adeep Nahar juga merupakan salah seorang rakan artis yang turut membimbing dan menasihati perjalanan seni Aidil Maula.
Single PEDIH akan dilancarkan pada 21 OGOS 2020 di semua platform aliran digital termasuklah ITUNES, Spotify, JOOX dan banyak lagi.