Penyanyi baharu yang kini mula bertapak, Aiden Daniel, anak didik komposer, Zul 2By2 rela dipanggil ‘budak baru nak up’ (BBNU) meskipun dia kini berusia 30 tahun dan sudah berkahwin.
Aiden atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Abdul Rahim, berkata, sebagai bakat baharu dia okey saja dengan gelaran BBNU itu kerana pembabitannya dalam muzik arus perdana baru bermula dan masih ‘hijau’.
“Saya menyanyi kerana minat dan dah ‘start’ sejak kanak-kanak lagi dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke. Cuma, baru sekarang saya dapat rezeki untuk jadi penyanyi rakaman yang ada single sendiri.
“Jadi, saya tak kisah pun kalau dipanggil penyanyi BBNU walaupun usia macam dah tak sesuai. Bagi saya, ia (usia) hanya angka dan syukur Alhamdulillah, yang pasti rezeki saya jadi penyanyi secara serius sudah tiba,”
– Aiden Daniel
Aiden yang bekerja dengan produksi Timur Empayar Management, turut berterima kasih dengan Zul 2By2 dan isteri, Intan Maya kerana sudi memberikan kepercayaan kepada pendatang seni suara baharu sepertinya untuk menyanyikan lagu Sampai Masa ciptaan mereka.
Zul 2By2 atau dikenali sebagai Aiman merupakan komposer popular yang mencipta lagu-lagu hit seperti Mewangi, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Malam Semakin Dingin, Meraung, Kau Yang Bernama Seri dan banyak lagi.
Terdahulu, Aiden ditemui media pada majlis pelancaran single Sampai Masa di ibu kota, baru-baru ini.
Single bergenre balada itu mengisahkan perhubungan pasangan kekasih yang dikhianati dan putus di tengah jalan.
Ditanya juga mengenai jumlah pengikut media sosialnya yang masih sedikit, Aiden mengakui perkara itu dan bertekad cuba menarik perhatian ramai dengan berkongsi aktivitinya membuat ‘cover’ lagu.
“Sebelum ini, saya banyak menyanyi tetapi belum berpeluang masuk industri. Saya sudah banyak kali usaha, misalnya membuat persembahan di majis-majlis tertutup, makan malam, sertai pertandingan karaoke dan sebagainya.
“Masa itu mungkin nasib belum menyebelahi saya. Kini, saya sudah jumpa orang yang betul yang boleh buka peluang untuk saya ‘masuk’ dalam dunia industri nyanyian. Pertemuan dengan Abang Zul 2By2 sangat bermakna kerana dia yang berikan peluang itu.
“Syukur, Alhamdulillah. Saya akan cuba apa yang mampu sebab memang minat menyanyi sejak dulu lagi. Saya juga percaya dengan rezeki. Soal cepat atau lambat, ia sudah disusun cantik oleh-Nya. Tinggal lagi kita yang perlu usaha,”
– Aiden Daniel
Katanya, dia enggan terkait dengan sebarang kisah sensasi hanya kerana ingin menaikkan jumlah pengikut di media sosial berikutan perlu untuknya menjaga hati isteri dan keluarga.
Mahu merebut segala peluang dalam dunia hiburan, pemilik nama sebenar Muhammad Amirul Abdul Rahim ini berharap agar single pertamanya menerima respons yang memberangsangkan.
“Saya nak rebut peluang yang ada. Saya mahu membuktikan bakat dalam industri hiburan. Perjalanan untuk saya menghasilkan single ini sangat lancar.
“Syukur Alhamdulillah, kos rakaman dan pelancaran ditanggung pihak pengurusan saya, Timur Empayar Management. Harapnya lagu ini akan mendapat maklum balas positif peminat,”
– Aiden Daniel
Tidak melihat usia menjadi penghalang untuk membina nama, Aiden yang tampil dengan single Sampai Masa bertuah kerana menerima didikan dan semangat daripada komposer, Zul 2By2.
Semoga Aiden Daniel sukses dan berjaya menjadi penyanyi yang terkenal suatu hari nanti.