AHMAD IDHAM BUKTIKAN KEHEBATAN DIGITAL MIX STAGE FINAS
Hasil dan kualiti studio pos produksi, Digital Mix Stage Finas, yang selama ini dipertikaikan kualiti dan kemahiran dalam menghasilkan produk bermutu, akhirnya terbukti apabila filem pertama di Malaysia yang menggunakan sepenuhnya kemudahan di studio berkenaan, ‘Senjakala,’ dikatakan mempunyai sistem Dolby setaraf dengan produk perfileman antarabangsa termasuk dari Australia.
Filem terbaru arahan Ahmad Idham, dan diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd, itu telah dijadikan kajian kes oleh pihak Lembaga Perbadanan FINAS setelah ada ura-ura cadangan penswastaan studio berkenaan baru-baru ini.
Poster Senjakala
Melalui kajian kes ini, membuktikan bahawa studio Digital Mix Stage ini mampu berdaya saing dibawah pengurusan sedia ada selain memperlihatkan kualiti adunan yang dihasilkan mencapai piawaian tertinggi industri.
Pengerusi Finas, Datuk Mohammed M. Daud ketika ditemui berkata, “Setelah menonton tayangan filem ini (Senjakala), saya berpuas hati dengan hasil produk yang dihasilkan sepenuhnya di Digital Mix Stage. Ianya membuktikan, kemudahan dan tenaga kerja di sini akan dapat memenuhi keperluan industri perfileman tempatan.”
Dalam pada itu, beliau juga ditanya mengenai masalah yang dihadapi oleh studio berkenaan hingga Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberitahu untuk menerima sebarang cadangan penswastaan dari pihak luar, dalam menguruskan studio yang bernilai RM 53 juta ini.
Ahmad Idham
“Antara masalah yang kita hadapi sebelum ini berkaitan slot (masa menyiapkan proses adunan) selain ketidakpercayaan kepada tenaga kerja yang sedia ada. Namun, masalah ini di atasi dengan pihak Digital Mix Stage akan menyediakan tiga slot yang beroperasi 24 jam sehari selain tenaga kerja dihantar ke luar negara seperti ke Amerika Syarikat dan New Zealand, dalam mempertingkatkan kemahiran dalam proses ini,” beritahu Datuk Mohammed M. Daud lagi.
“Selain itu, pengiat dan pembikin filem tempatan, tidak tahu mengenai kemudahan di Digital Mix Stage yang menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan,” tambahnya lagi.
Studio berkeluasan 2, 396 meter persegi ini menyediakan kemudahan adunan bunyi bertaraf Dolby, dengan proses ‘audio dubbing,’ ‘foley,’ dan ‘optical sound,’ setempat yang pertama di Malaysia. Studio ini diiktiraf sebagai ke 13 terbaik di dunia dan pertama di Asia Tenggara. Selain itu, Digital Mix Stage ini dikategorikan dalam kelas ‘Premier’ yang satu-satunya di rantau ini, selain Australia.
Bagi pengarah, Ahmad Idham, juga merupakan Ahli Lembaga Perbadanan Finas berkata, dia cukup berpuas hati dengan hasil kerja dari studio ini. Baginya yang pernah menjalani proses adunan bunyi di luar negara untuk filem terdahulu menambah, selain dapat menjimatkan kos pos produksi secara keseluruhan ianya juga memberikan hasil terbaik.
“Bruce Emery (Penasihat Dolby Digital) sendiri memberitahu kepada saya yang hasil kerja anak tempatan ini boleh dibanggakan kerana ianya setaraf hasil studio terbaik yang berada di Australia. Ini merupakan satu penghargaan kepada tenaga kerja studio Digital Mix Stage khasnya dan produksi ‘Senjakala,’ kerana ianya pengiktirafan yang mampu menarik minat syarikat produksi tempatan mahu pun luar negara untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di studio ini,” jelasnya selepas sesi tayangan tertutup ‘Senjakala’ baru-baru ini.
Idham menambah, “Saya sendiri kagum dengan kemahiran dan kreativiti yang mereka miliki (tenaga kerja studio), sehingga dapat memberikan hasil terbaik.”
Dalam pada itu, ramai pengiat juga pembikin filem, terutamanya dari studio persendirian sering menjalankan proses adunan bunyi secara dalaman, seperti proses ‘foley’ yang mengambil contoh bunyi dari dalam cakera padat berbanding menjalankan proses berkenaan secara nyata di studio ‘foley’ yang ada di studio Digital Mix Stage di Finas.
Proses ini dilihat tidak penting kerana beranggapan penonton tidak terlalu mementingkan kualiti bunyi perincian, sehinggakan prosesnya dilakukan secara tidak menepati piawaian industri filem antarabangsa.
Azriddin Hamzah, penyelia bunyi dan adunan di studio Digital Mix Stage Finas menambah, dengan kemudahan yang disediakan, pembikin filem seperti Ahmad Idham, contohnya, mampu mengambil peluang yang ada dalam menghasilkan adunan terbaik bagi sesebuah filem.
“Dengan adunan terbaik, filem-filem yang dihasilkan dari studio Digital Mix Stage Finas ini mampu memenuhi keperluan pawagam tempatan yang menyediakan sekurang-kurangnya sistem audio bertaraf Dolby, dan ini memberikan kesan terbaik, terutamanya kepada penonton. Selain itu, filem tempatan juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa dari aspek teknikal,” terang Azriddin yang menyelaras sistem audio Dolby bagi ‘Senjakala.’
Pengiat bidang perfileman tempatan, terutamanya penerbit, kini menghasilkan filem dengan sistem audio Dolby Digital. Ianya satu petanda positif buat industri, namun, kebanyakkan penerbit melakukan proses Dolby di Bangkok, Thailand juga Mumbai di India.
Dengan adanya portfolio seperti ‘Senjakala,’ membuktikan tenaga kerja juga kemudahan dari segi jadual dan peralatan yang ada di studio Digital Mix Stage finas, antara yang terbaik di Asia Tenggara, dan pasti mampu menarik penerbit filem tempatan juga antarabangsa.