Menurut sumber, 6 orang daripada kumpulan tersebut sudah pun mendaftar untuk menyambung ijazah sarjana mereka di Hanyang Cyber University. Meskipun Jin sudah pun memasuki program tersebut sejak 2017, dia kini disertai oleh kesemua ahli lain kecuali ahli termuda iaitu Jung-kook baru-baru ini. Mereka semua bersepakat mengambil jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang Pengiklanan & Media.
Agensi naungan mereka iaitu Big Hit Entertainment turut menjelaskan mengenai berita tersebut.
RM, Suga dan J-Hope mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Pengiklanan & Media pada Mac lepas manakala V dan Ji-min pula bakal memulakan pengajian mereka bermula September nanti.
Disebabkan pandemik COVID-19, temuduga kemasukan ke sekolah siswazah dilakukan menerusi panggilan video atas talian. Kalau anda nak tahu, Hanyang Cyber University merupakan salah satu daripada 21 universiti virtual dalam negara itu dan setiap fakulti memilih pelajar baru menerusi temuduga selepas mereka melepasi ujian bertulis.
Pun begitu, ada yang berbunyi dan mengatakan bahawa kesemua mereka mengambil ijazah sarjana kerana mahu mengelak daripada memasuki latihan khidmat ketenteraan. Namun perkara ini telah dinafikan oleh agensi mereka dan menjelaskan bahawa kesemua ahli BTS berminat untuk belajar dengan lebih lagi.
Pada tahun 2018, satu peraturan ketenteraan baru diumumkan di mana umur maksimum untuk lelaki Korea menangguhkan perkhidmatan ketenteraan mereka telah direndahkan. Jadinya, lelaki yang layak dan lahir pada tahun 1992 perlu memulakan latihan wajib tersebut pada tahun 2020.
Tahniah kepada semua ahli BTS!