Diperkatakan sejak awal tahun lalu selepas melancarkan album, Agnes Is My Name, Agnes Monica bagaimanapun hanya mengunci mulut apabila ditanya mengenai kolaborasinya bersama komposer terkenal antarabangsa, Timbaland.
Spekulasi mengenai kerjasama itu terus marak apabila nama seperti Justin Timberlake, Missy Elliott, Beyonce Knowles dan Britney Spears dikatakan bakal menjadi teman duet penyanyi berusia 26 tahun itu.
Membiarkan perkara itu terus menjadi tanda tanya, Mei lalu, beberapa keping foto dirinya dan Timbaland ketika di studio rakaman tersebar di internet.
Tetapi masih tiada penjelasan kukuh daripada Agnes. Hanya selepas segala-galanya pasti, Agnes akhirnya bersuara mengenai kesungguhannya mahu menembusi pentas antarabangsa, terutama Amerika Syarikat.
“Ramai yang bertanya mengenai projek itu tetapi baru kini saya sedia untuk berkongsi. Ini projek pertama, lagu duet saya dan Timbaland,”
– Agnes Monica
Bagaimanapun, penyanyi Matahariku dan Teruskanlah itu enggan berkongsi terlalu banyak informasi mengenai kolaborasi itu.
Dia berkata, lagu itu diperkenalkan buat pertama kali pada satu acara anjuran United Nation Children’s Fund (UNICEF) di Bali, Isnin lalu.
Acara bertaraf antarabangsa itu, jelas Agnes, turut membahaskan bagaimana golongan muda mampu menjadi pemimpin di negara masing-masing.
Tambah Agnes, lagu duetnya dengan Timbaland itu dipilih menjadi lagu tema bagi acara yang diadakan selama tiga hari itu.
“Semua maklumat mengenai lagu itu akan dimuatkan dalam laman sesawang terbaru saya. Lihat saja di situ nanti. Saya akan berkongsi segala hal mengenai apa yang dilakukan selama ini,”
– Agnes Monica
Agnes yang baru meraih empat anugerah pada malam Yahoo! OMG Award pada 24 November lalu.
Memulakan karier nyanyian sejak usia enam tahun, Agnes memiliki tiga album dari 1992 hingga 1996 iaitu Si Meong, Yess!, dan Bala Bala.
Menganjak usia remaja, dia semakin progresif dengan menghasilkan album seperti And the Story Goes (2003), Whaddup A’..?! (2005), Nez (2008), Sacredly Agnezious (2009) dan Agnes Is My Name (2011).
Enggan terperuk di negara sendiri, pemilik nama lengkap, Agnes Monica Muljoto itu mula mengintai pasaran antarabangsa.
Permulaan langkahnya menyerlahkan sisi positif apabila diberi penghormatan sebagai pengacara di American Music Awards 2010 di Nokia Theatre, Los Angeles.
Kesempatan itu turut dimanfaatkan Agnes untuk memperdengarkan suara emasnya menerusi duet bersama Christian Chavez.
Pernah Dicemuh
Agnes juga pernah diberi penghormatan merakamkan lagu duet, Said I Love You… But I Lied dengan Michael Bolton yang dimuatkan dalam album penyanyi itu, Gems: The Duets Album untuk pasaran Asia.
“Lumrah jika ada yang memperkecil, malah mencemuh usaha ini tetapi saya jadikan itu sebagai pemacu untuk membuktikan diri. Memang ia meletihkan tetapi paling penting, saya harus mengubah pandangan negatif orang lain menjadi positif. Penghargaan itu bonus kerana lebih utama, bagaimana kita dapat sampai ke destinasi yang ingin dituju. Proses pembelajaran yang panjang itu membuat saya menjadi lebih baik,”
– Agnes Monica
Baru saja diiktiraf Artis Asia Terbaik – Indonesia di MNet Asian Music Awards (MAMA) 2012 di Hong Kong pada 30 November lalu, Agnes juga dalam rangka untuk konsert besar akhir tahun ini.
Konsert penghargaan sempena usia pembabitannya yang ke-20 dalam bidang seni itu katanya, bakal membawa pelbagai kejutan termasuk memperkenalkan beberapa lagu terbarunya.
Pada masa sama, Agnes turut menggarap pembikinan muzik video terbarunya, Muda yang menterjemahkan dirinya yang sebenar.
“Saya bangga menjadi diri sendiri dalam klip video itu. Muda adalah lagu yang memberi inspirasi atau pembakar semangat untuk orang muda supaya optimis dalam meraih mimpi dan cita-cita. Lirik lagu itu terlalu peribadi, malah saya belum pernah menghasilkan karya yang menyentuh semua orang yang mempunyai mimpi untuk mewujudkan cita-cita mereka,”
– Agnes Monica
Semoga Agnes Monica terus sukses di persada antarabangsa.