Muhammad Affizy Khairy Bin Mohd Khairy Rajan yang juga lebih mesra dikenali sebagai AffizyKhairy atau Agy merupakan seorang anak muda yang berbakat besar dan bersemangat tinggi. Beliau mempunyai pengalaman yang cukup mendalam di dalam bidang seni seperti nyanyian, tarian, pengacaraan, lakonan dan pemodelan. Dengan kelebihan vocal range yang unik, Affizy Khairy, tampil buat pertama kalinya sebagai penyanyi solo dengan lagunya yang berjudul TIADA APA.
Setelah beberapa tahun bertungkus lumus bagi menyiapkan lagu berjudul Tiada Apa tersebut, akhirnya pada tanggal 20 September 2020, lagu tersebut telah berjaya dilancarkan secara rasmi dibawah edaran AJ Music Malaysia di setiap Digital Platform seperti Joox, Spotify dan Itunes.
Selain itu, muzik video rasmi bagi lagu tersebut juga telahpun berjaya dilancarkan di Youtube.
Tiada Apa merupakan sebuah lagu hasil ciptaan asal demako yang mula ditulis oleh beliau ketika beliau masih lagi berada dibangku sekolah.
Beberapa tahun kemudian, lagu tersebut diolah baik oleh penyanyi utama Tiada Apa sendiri iaitu Affizy Khairy dan komposer kedua iaitu PujanggaMalam.
Menurut demako, antara salah satu sebab utama beliau memilih genre rock ballad bagi lagu tersebut adalah kerana beliau berpendapat bahwa genre rock ballad adalah genre yang paling dekat dan signifikan buat kebanyakan pendengar di Malaysia.
Tidak kira siapa dan tidak kira usia, kebanyakan mereka dapat menerima lagu dengan genre tersebut. Beliau juga merasakan bahawa lagu Tiada Apa sesuai dengan citarasa pendengar tempatan kerana campuran elemen penyusunan lagu baru dan lagu lama.
Menurut beliau juga, alasan utama mengapa beliau memilih untuk memberikan lagu tersebut kepada Affizy Khairy pada awal pertemuan mereka ketika di bangku universiti ialah kerana beliau percaya bahawa Affizy Khairy mampu menyampaikan lagu tersebut dengan sangat baik.
Hal ini demikian kerana keunikan suara Affizy Khairy sendiri dan kerana beliau berpendapat bahawa Affizy Khairy ialah seorang yang sangat tekad, tegas dan kuat dalam soal bekerja.
Jika bukan kerana kerja keras dan ketegasan Affizy Khairy sehingga ke saat ini, mungkin lagu tersebut masih belum dapat disiapkan.
Selain itu, dari sudut penceritaan lagu pula. Ianya bukanlah menceritakan soal percintaan yang dipersiakan (seperti apa yang ramai sangka). Akan tetapi, ianya menceritakan tentang bagaimana seseorang manusia itu boleh menjadi terlalu leka dalam mengejar habuan dunia seperti cinta manusia, kekayaan, kemasyhuran dan kecantikan semata-mata sehingga terlupa bahawa hidup ini sebenarnya hanyalah buat sementara waktu.
Menurut Affizy Khairy, lagu Tiada Apa tersebut disampaikan beliau dengan niat untuk memberikan kesedaran kepada semua pendengar bahawa tiada perkara yang akan kekal di atas dunia ini kerana di akhir waktu nanti kita tetap akan kembali kepada-Nya.
Jika cinta itu semata-mata hanya kerana manusia, jika kekayaan itu hanya semata-mata untuk diri sendiri, jika kemasyhuran itu hanya mampu membuatkan kita menjadi seseorang yang sombong dan jika kecantikan itu hanya menjadikan kita seseorang yang angkuh, maka ia tidak akan dapat mendatangkan apa-apa keuntungan atau kebaikan.
Harapan utama mereka terhadap lagu tersebut adalah supaya setiap bait-bait lirik dan video muzik Tiada Apa dapat menjadi peringatan kepada semua pendengar akan tujuan sebenar kehidupan seorang manusia adalah untuk mentaati segala seruan-Nya dan menjauhi larangan-Nya sebagai hamba-Nya.
Mesej ini signifikan dengan ayat yang disampaikan melalui lagu tersebut iaitu
“Terkadang kita terlalu leka mengejar sesuatu yang tidak pasti, sedangkan Dia masih setia menanti.Kekuatan vokal beliau juga menjadikan lagu ini lebih menyerlah dan mampu meruntun hati setiap pendengar.
Tambahan pula, video muzik rasmi Tiada Apa telah berjaya mengumpul hampir 5 ribu tontonan dalam masa 4 hari sahaja semenjak dilancarkan dan ianya merupakan hasil usaha sama Affizy serta orang-orang kuat Tiada Apa.
Untuk pengetahuan semua, video muzik Tiada Apa telah diarahkan sepenuhnya oleh Affizy Khairy sendiri. Menurut beliau lagi, setiap elemen di dalam video tersebut mempunyai maksud tersiratnya yang tersendiri.
Tujuan beliau menghasilkan video muzik seperti itu adalah untuk memberikan peluang kepada semua pendengar dan penonton untuk bermain dengan pemikiran mereka sendiri dalam memahami jalan penceritaan dan bait-bait setiap simbolik di dalam video muzik tersebut.