Penyanyi, Ezad Lazim reda ketentuan Ilahi dengan pemergian adik bongsunya, Mohd Rizal Mohamad Lazim, 35, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru jam 3.15 petang, hari ini.
Mohd Rizal yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, sejak minggu lalu ditidurkan oleh doktor kerana jantung bergerak laju serta dikesan ada jangkitan kuman dalam darah pada 18 September lalu.
Ezad memaklumkan adiknya itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas kurang sihat hampir sebulan akibat demam yang tidak menentu, namun ia bukan disebabkan jangkitan Covid-19.
“Keadaan kesihatan arwah tidak begitu baik, sejak sebulan lalu. Apabila kesihatan semakin merosot, arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
“Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan arwah mengalami jangkitan kuman, tetapi tidak tahu pada bahagian mana sehinggalah doktor mengesahkan terdapat jangkitan dalam paru-paru.
“Arwah terpaksa ditidurkan apabila degupan jantung semakin laju, beberapa hari lalu. Namun, ramai menyangka arwah meninggal dunia akibat COVID-19, sedangkan bukan itu bukan puncanya,”
– Ezad Lazim
Ezad berkongsi berita duka pemergian arwah Mohamad Rizal yang berusia 35 tahun menerusi laman Instagram dan Facebook.
“Sebelum ini, saya hanya mendapat tahu perkembangan arwah menerusi kakak, selain membuat panggilan video. Semalam, saya bergegas pulang ke Alor Setar untuk melihat keadaan arwah.
“Saya dan ahli keluarga tidak dapat melawat arwah sepanjang dirawat di hospital
“Saya pulang ke kampung mahu berbincang dengan adik-beradik lain bagi mencari alternatif lain untuk merawat penyakit arwah.
“Namun, siapa sangka, kepulangan saya ke kampung untuk mengiringi perjalanan terakhir arwah,”
– Ezad Lazim
Ezad berkata, jenazah arwah perlu menjalani pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum dibenarkan dibawa pulang.
“Ujian saringan dan beberapa prosedur perlu dilakukan demi untuk memastikan arwah bebas COVID-19.
“Jika tiada jangkitan, barulah kami dibenarkan untuk membawa jenazahnya malam. Insya-Allah, jenazah arwah akan dikebumikan esok pagi,” ujarnya.
– Ezad Lazim
Allahyarham Mohd Rizal yang masih bujang bekerja sebagai kakitangan kebudayaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.
Mohd Rizal juga tinggal bersendirian selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.
Menurut Ezad, pengorbanan Allahyarham pada keluarga sangat besar kerana menjaga ibu bapa di kampung sehingga bapa mereka menghembuskan nafas terakhir pada 2019 dan ibu pula pada Ogos tahun lalu.