Tiga nama dengan kekuatan vokal memukau bakal berkongsi satu pentas pada 24 November ini. Getaran suara, Adibah Noor, Misha Omar dan Jaclyn Victor bakal bergema buat julung kali bulan ini di pentas tersohor Kota Singa, Esplanade.
Bukan sesuatu yang asing kerana idea menyatukan tiga penyanyi dalam persembahan atau konsert sudah lama diperkenalkan. Bezanya hanya nama penyanyi saja bertukar ganti. Justeru persembahan Adibah, Misha dan Jac ini tidak wajar dilepaskan.
Konsert 3 Permata ini dijadual berlangsung selama sejam 30 minit tanpa henti. Ketiga penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon ini akan mendendangkan lagu hit masing-masing. Lebih istimewa satu segmen penghargaan kepada Biduanita Negara, Puan Sri Saloma juga akan dilaksanakan pada malam itu nanti.
Pastinya lagu dendangan Adibah Noor seperti Terlalu Istimewa, Jaclyn Victor (Gemilang, Wajah, Satu Harapan) dan Misha (Bunga Bunga Cinta, Semoga Abadi, Nafas Cahaya) antara lagu yang berkemungkinan besar menjadi pilihan untuk dipersembahkan nanti.
Menurut Jaclyn Victor yang mula menempa nama sejak 2004 selepas memenangi pertandingan Malaysian Idol di 8TV, kolaborasi ini cukup istimewa sekali pun beliau dan Misha sudah beberapa kali bersatu di pentas seni termasuk merakamkan kembali lagu Cinta (dendangan asal Kris Dayanti dan Melly Goeslow).
“Jelas di antara kami mempunyai keupayaan vokal yang berbeza selain mampu menyanyikan lagu bernada tinggi. Secara peribadi dan mewakili dua lagi teman seperjuangan, saya sendiri teruja untuk sama-sama berkongsi pentas dengan mereka.
“Melihat kepada durasi persembahan konsert ini, mungkin setiap seorang daripada kami akan menyanyikan lagu masing-masing sekitar lima ke enam lagu. Saya sudah menghantar senarai lagu kepada penganjur untuk dipertimbangkan yang mana satu akan dipilih,†kata Jaclyn Victor.
Manakala Misha memberitahu peluang bersatu di pentas yang sama terutamanya bersama Adibah sudah lama dinanti-nantikan sepanjang karier seninya mekar. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, peluang keemasan ini tidak dipersiakan ibu angkat kepada Adam itu.
“Keserasian saya dengan Jaclyn sudah terbukti menerusi lagu duet Cinta dan beberapa siri persembahan di TV, jadi melalui gabungan bersama Adibah ini ia secara tak langsung memberi paduan mantap di antara kami bertiga. Jadi kepada yang sedang membuat keputusan menonton persembahan kami ini, ia boleh disifatkan cukup berbaloi.
“Jelas juga antara kami bertiga cukup sinonim dengan lagu genre balada sekali gus mampu membuai perasaan penonton yang akan memenuhkan dewan Esplanade. Lagipun saya sendiri juga sudah lama tidak tampil dalam persembahan atau konsert terbuka seperti ini.
“Dengan durasi masa yang diberikan kepada kami, saya yakin agak sukar untuk memenuhkan deretan lagi popular kami untuk konsert 3 Permata ini. Tetapi saya sendiri akan manfaatkan masa yang diamanahkan ini dengan menyanyikan lagu kegemaran peminat termasuk menyanyikan secara medley,†kata Misha.
Bagi peminat di Malaysia yang tidak mahu ketinggalan menonton persembahan ini, tiket dijual dalam Singapore Dolar berharga $40*, $60**, $80, $100. Harga istimewa juga kepada pelajar dan warga tua. Selain itu penganjur turut menawarkan pakej istimewa dengan membeli sepasang tiket. Maklumat lanjut layari www.esplanade.com