Adi Putra Anggap Kontroversi Cerai Macam Dalam Drama
Pelakon Adi Putra menyifatkan masalah rumah tangga yang melanda dalam kehidupannya dengan isteri, Zuhaida Yusof (Aida), 37, seperti sebuah drama yang sering dilakonkan tetapi ia adalah realiti kehidupan sebenar.
“Saya anggap keputusan menarik balik kes cerai terhadap isteri adalah satu keajaiban. Alhamdulillah kami sedar bahawa rumah tangga yang dibina perlu diteruskan dan kami masih memerlukan di antara satu sama lain. Terasa macam drama pula, tapi inilah realiti yang perlu dilalui. Dan jika ada pihak menganggap kami main-main dengan perkara ini, terpulanglah,” katanya.
Adi dan Zuhaida mengadakan sidang media di sebuah kafe, Hotel Park Royal di sini, kira-kira pukul 9 malam Selasa bagi menjelaskan mengenai status mereka selepas timbul kontroversi kedua-dua mereka dikatakan sudah lagi tidak sehaluan.
Kira-kira 50 media hadir untuk bertanya pelbagai persoalan dan ia berjaya dijawab oleh mereka dengan tenang.
Adi yang memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah di sini pada 11 Mei lalu telah membuat keputusan menarik balik kes tersebut kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lalu.
Adi Putra dan isterinya dikerumuni wartawan yang ingin mengetahui punca mereka menarik semula kes perceraian di mahkamah.
Tambah Adi, peluang selama sembilan hari yang diberikan pihak mahkamah sebelum meneruskan kes benar-benar membantu dirinya dan isteri untuk berfikir kembali mengenai hubungan mereka.
“Sepanjang sembilan hari diberi tempoh berdamai, kami tenangkan dan kemudian masing-masing meluahkan perasaan dan rasa tak puas hati. Alhamdulillah, akhirnya kami mencapai keputusan yang kami masih lagi memerlukan antara satu sama lain. Bagaimanapun saya tidak menyesal memfailkan penceraian itu, namun ia satu pengajaran berguna buat saya,” ujarnya.
Sementara itu, Zuhaida yang kelihatan tenang berkata, dia dan suami telah mengambil iktibar terhadap masalah rumah tangga mereka dan berharap perkara sebegitu tidak lagi berulang.
“Memang macam-macam spekulasi timbul di luar sana mengenai rumah tangga kami.Cuma apa yang kami ingin tegaskan di sini, ia tiada kaitan dengan orang ketiga, mahupun hal anak,” ujarnya.
Pasangan berkenaan yang pulang dari Tanah Suci, Mekah pada 8 Mei lalu telah bernikah pada 14 April 2006 tetapi masih lagi belum dikurniakan anak.
Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Zul (Handy Black). via Mstar Online