Awalnya, anggota polis yang juga penyanyi, Soffwany Yusoff enggan mendedahkan ikatan pertunangannya dengan pelakon, Raja Afiq tetapi semakin ramai mula menyedari kemesraan mereka dalam laman sosial, jadi tiada guna berahsia lagi.
Soffwany atau nama sebenarnya, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, berkata dia dan Raja Afiq kini baru bersedia mengumumkannya kepada peminat.
“Mulanya, kami mahu merahsiakan dahulu. Kawan pun tidak tahu, hanya keluarga terdekat sahaja diberitahu.
“Bagaimanapun, apabila difikirkan semula, tiada guna berahsia lagi memandangkan kami selalu meletakkan komen ‘sweet’ pada gambar di laman Instagram (IG), orang ramai pun mula perasan. Dari situ, sudah masanya kami berkongsi berita baik,”
– Soffwany
Pasangan ini mengikat tali pertunangan sekitar Mac lalu, bagaimanapun merahsiakan tarikhnya.
“Majlis pertunangan diadakan di rumah keluarga di Johor Bahru secara tertutup, hanya ahli keluarga sahaja diundang.
Kami merancang bertunang tidak lama, tetapi nampaknya seperti kena tangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Selain itu, banyak urusan yang belum sempat diselesaikan,”
– Soffwany
Berkongsi hubungan mereka, Soffwany yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia berkata mereka hanya berkenalan dalam masa beberapa bulan, sebelum memutuskan mengikat tali pertunangan.
“Kami berkenalan awal tahun ini apabila Afiq menghantar mesej langsung (DM) di IG. Banyak kali Afiq hantar mesej, saya hanya membalas dengan emoji sahaja.
“Bagaimanapun, dia tetap tidak berputus asa tetap menghantar DM hingga kami bertukar nombor telefon. Kami berkenalan tidak lama dan terus membuat keputusan bertunang. Sebab kami ada keserasian, malah keluarga pun merestui hubungan ini,”
– Soffwany
Mengulas perancangan mendirikan rumah tangga, Soffwany berkata, mereka sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan pada Ogos depan, tetapi terpaksa ditunda.
“Sepatutnya kami nikah Ogos ini, tetapi terpaksa tunda. Banyak proses yang belum selesai seperti permohonan perkahwinan di peringkat PDRM. Lagi pun, Afiq belum ada sijil kursus kahwin,”
– Soffwany
Berkongsi sikap Afiq yang membuatkannya tertarik, Soffwany berkata, Afiq, seorang yang sangat memahami kepadatan jadual kerjanya membuatkannya jatuh hati.
“Sikap Afiq ‘sweet’, selalu mengambil berat dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan,”
– Soffwany
Pada 2016, Soffwany pernah menjadi bualan orang ramai selepas menyanyikan lagu raya berjudul Pulanglah. Kemerduan suaranya membuatkan ramai memuji bakat terpendam yang dimiliki.
Sumber: BH Online