Pelakon Siti Elizad Sharifuddin, 31, kini sedang menghitung hati menanti ketibaan 11 April 2015. Tarikh tersebut akan menjadi detik bahagia buat heroin drama bersiri Teman Lelaki Upahan ini kerana dia bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Shamsul Baharin Rahman, 43.
“Pada asalnya, saya dan Shamsul mahu melangsungkan perkahwinan pada 1 November tahun lalu. Tetapi, disebabkan terlalu sibuk, kami menunda majlis perkahwinan kami itu pada 11 Januari tahun ini. Namun, terpaksa ditunda sekali lagi dan akhirnya kami sama-sama memilih 11 April nanti sebagai tarikh pernikahan dan persandingan,” jelas Elizad yang bakal bernikah pada sebelah pagi sebelum melangsungkan majlis resepsi pada sebelah malamnya di Kampung Pengantin, Setapak, Kuala Lumpur.
Memilih tarikh tersebut pada saat-saat akhir, pelakon utama filem Coverina itu mengakui, masih terdapat banyak urusan persiapan perkahwinannya yang perlu diselesaikan.
Katanya, walaupun tarikh pernikahan sudah semakin hampir, tetapi kad undangan pun belum dicetak. Baju yang mahu dipakai untuk majlis pernikahan dan persandingan juga masih belum ditempah.
“Bukan kami tidak mahu serius dalam mempersiapkan diri untuk melangsungkan perkahwinan, cuma masing-masing sibuk dengan kerja. Lebih-lebih lagi, saya kini banyak menerima tawaran untuk berlakon. Sehinggakan, saya terpaksa mengambil cuti selama tiga hari semata-mata untuk melangsungkan perkahwinan sebelum kembali menjalankan penggambaran seperti biasa,” ujarnya yang kini sibuk menjalani penggambaran bagi drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa.
Mengenai bakal suaminya yang berstatus duda beranak dua itu, Elizad berkata, dia tidak kisah untuk berkongsi hidup bersama lelaki yang jauh lebih berusia daripadanya.
Tutur Elizad, selain Shamsul yang bersifat memahami, anak-anak bakal suami turut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengannya.
“Shamsul merupakan seorang individu yang bersifat terbuka dan sangat memahami kerjaya saya. Dia sering memberikan pendapat tentang gaya lakonan dan pemilihan watak yang sering saya bawakan di layar televisyen.
“Anak-anak bakal suami pula sangat rapat dengan saya. Mereka yang berumur 11 dan 9 tahun sudah saya anggap seperti rakan. Sengaja saya ‘berkawan’ dengan mereka. Apabila kami berkawan, perasaan untuk memahami antara satu sama lain akan menjadi lebih mudah,” tuturnya.
sumber : Kosmo!