Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 30, berkata, perkara itu disebabkan dia bimbang selepas isterinya mengalami keguguran pada Januari lalu.
Alhamdulillah, kandungan sudah pun berusia tiga bulan dan sihat, masa menerima berita ini saya tidak mahu terlalu teruja, bukan apa… rasa bimbang terjadi perkara yang sama.
“Saya buat biasa-biasa sahaja dan tidak umumkan perkara itu di laman sosial sehinggalah kandungan itu berusia tiga bulan dan kuat sedikit,” ujarnya kepada mStar Online.
Penyanyi lagu Ada Untukmu ini berkongsi berita isterinya kini hamil mereka menerusi laman sosial baru-baru ini.
Pasangan ini diijab kabul pada 29 Ogos 2015 di Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Nubhan berkata, dia juga mengalami perasaan trauma dan berhati-hati dalam setiap pergerakan yang dilakukan isterinya.
“Setiap apa yang dia lakukan saya rasa takut, sehingga dia juga rimas kerana saya sering bertanya okey ke tak?
“Maklumlah, kejadian keguguran lalu itu membuatkan saya trauma, terlalu bimbang dan takut dengan apa yang dia lakukan boleh menjejaskan kandungan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nubhan berkata, dia bakal melancarkan produk terbaharu bawah jenama kosmetiknya Juwita Divine pada Disember ini.
Katanya, produk berasaskan rumpai laut itu semakin mendapat sambutan pengguna remaja.
“Produk Juwita Divine kini sudah ada empat jenis dan saya akan buat penjenamaan semua bagi memberi bungkusan yang terkini dan lebih menarik.
“Ia antara produk rumpai laut yang mampu milik dan sudah disahkan halal serta berkesan menghilangkan jerawat dan jeragat,” ujarnya.