Desas-desus mengenai hubungan mesra yang terjalin antara mereka bukanlah kisah baharu kerana sejak tahun lalu Kamal Adli dan Emma Maembong dikatakan mempunyai hubungan istimewa. Namun, baik Kamal mahupun Emma, masing-masing memilih untuk menafikan khabar angin berkenaan walaupun ramai peminat mendoakan yang terbaik untuk keduanya.
Malah, sebelum ini, Kamal turut diheret dalam konflik hubungan antara Emma dan bekas kekasihnya, Zizan Razak apabila dituduh menjadi orang ketiga. Berkali-kali menepis dakwaan itu, namun ramai yang mula menghidu kemesraan mereka apatah lagi dengan tersebarnya foto-foto mesra mereka bersama.
Bagaimanapun, seakan muak dengan khabar angin yang tersebar, Kamal memilih untuk tidak menjelaskan secara lanjut mengenai hubungan mereka lagi. Sebelum ini, Kamal pernah memberitahu bahawa masih terlalu awal untuk mempunyai hubungan perasaan melebihi daripada persahabatan.
“Saya dan Emma memang berkawan baik dan tidak salah sekiranya kami berkawan. Namun, untuk memiliki hubungan istimewa, masih terlalu awal. Saya tidak mahu kerana hal seperti ini, dia terus menerima cemuhan demi cemuhan,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.