Penyanyi Hafiz Suip terkejut apabila beberapa peminatnya melahirkan kemarahan selepas mendapat tahu dia sudah berpunya apabila foto kekasihnya disiarkan di laman Instagram minggu lalu. Menurut Juara Akademi Fantasia musim ke-7 itu, dia tidak menyangka peminatnya akan memberikan respons sedemikian tetapi berasa lega kerana tidak lagi perlu menyembunyikan rahsia perihal pasangan cintanya yang dikenali sebagai Fy itu. Hafiz ditemui media semasa menghadiri majlis pelancaran showcase Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe, jam 3 petang semalam.
“Ini merupakan kali pertama saya memuat naik foto kekasih di Instagram sekadar mahu memberitahu yang kini saya sudah berpunya. Tidak sangka pula apabila ada beberapa peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana foto itu. Bagaimanapun, saya percaya mereka akan faham. Takkanlah saya tidak boleh ada kekasih semata-mata ingin menjaga hati orang.”
Dipetik dari berita Mstar Online, pada minggu lalu, teka-teki mengenai siapakah kekasih Hafiz terjawab dia berkongsi fotonya bersama wanita itu dengan kapsyen ‘happy birthday to my love’ bagi mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran wanita berkenaan.
Dalam pada itu Hafiz berkata, tujuan dia mendedahkan foto tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk dia berkongsi rasa bahagia perhubungan cintanya yang sudah terjalin selama lima bulan itu.
“Dulu saya terfikir, jika mendedahkan hal percintaan saya, mungkin ia akan menggugat karier dan peminat tidak akan suka saya lagi. Tetapi bila fikir balik, buat apa perlu sorok benda baik. Tetapi saya tidak akan memberitahu secara terperinci mengenai Fy. Apa yang saya boleh katakan, Fy merupakan pelajar jurusan akaun di sebuah institusi pengajian tinggi. Dia juga merupakan saudara jauh saya.”
Dalam perkembangan lain, Hafiz Suip akan menjayakan Showcase Hafiz & Friends bersama penyanyi Hazama dan Akim Ahmad yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan. Sebanyak 12 lagu akan dipersembahkan.