Satu perkataan yang menggambarkan album Dayang Nurfaizah ialah SEMPURNA. Ya, cukup sempurna. Ia diperakui sendiri oleh Dayang Nurfaizah semasa sidang media Pelancaran Album Terbaru yang ke-8 yang berlangsung di MaTIC petang tadi. Tampil dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, Dayang Nurfaizah gembira dengan penerimaan peminat untuk album beliau kali ini.
Ini adalah album pertama yang menampilkan kesemua lagu balada, yang mana setiap lagu mempunyai kisah dan emosi tersendiri. Album yang membariskan 10 lagu ini disempurnakan dengan tujuh lagu baru dilampirkan bersama tiga buah lagu yang mencipta fenomena tersendiri iaitu DI PINTU SYURGA, TAK PERNAH MENYERAH dan LELAKI TERAGUNG.
Lebih membanggakan lagi, ketiga-tiga lagu ini membawa Dayang Nurfaizah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu sehingga menjuarai AJL31 menerusi lagu LELAKI TERAGUNG. Lebih istimewa album ini juga hadir dengan tiga trak istimewa yang menampilkan kehebatan vokal Dayang secara live di pentas AJL dan melayakkan beliau dianugerahkan Vokal Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.
Patutlah Dayang Nurfaizah menganggap album kali ini wajib di miliki oleh peminatnya kerana sudah lama tidak Dayang tidak mengeluarkan album.
Dayang turut ditanya tentang lagu-lagu yang dipilihnya. Paling mengejutkan Dayang mengatakan tiada lagu rancak yang diterimanya dan rata-rata adalah lagu balada yang bertemakan cinta. Inspirasi di sebalik pembikinan album ini ialah peminat Dayang sendiri, mereka yang mahukan Dayang mengalunkan lagu-lagu berentak perlahan. Berdasarkan kejayaan single sulung untuk album ini, Dayang sudah dapat membaca apa yang peminat mahukan, iaitu album balada sepenuhnya.
Bagi Dayang, album ini adalah hadiah buat peminat yang menyokong kariernya sehingga bertahan sehingga ke hari ini.
Setelah 15 tahun tidak bekerjasama, kali ini Dayang dijodohkan kembali dengan karya bermutu dari Ajai dan Aubrey Suwito yang menjadi tarikan utama album ini. Dua buah lagu hasil sumbangan dari Ajai iaitu SEPARUH MATI KU BERCINTA dan USAH BILANG CINTA. Melodi dan susunan muzik dari Ajai dalam trak hit sulung Dayang iaitu SEANDAINYA MASIH ADA CINTA yang telah meletakkan nama Dayang di atas peta dunia seni hiburan. Aubrey pula telah menyumbangkan sebuah lagu berjudul LAYARLAH KEMBALI yang turut ditulis oleh Ad Samad.
Nama-nama besar dan pengkarya hebat telah bertungkus lumus menjayakan album ini. Antaranya, Ajai, Aubrey Suwito, Tam Spider, Omar K, Ezra Kong, Hael, Aizat Amdan, Iman Imran, Hazami, Genervie Kam, Syed Syahmirr dan Aepul Roza.
Pada malam ini, sempena dengan pelancaran album ini, Dayang turut tampil dengan satu showcase istimewa bertempat di MaTIC, Jalan Ampang pada 18 April 2017 jam 9 malam. Di showcase ini, Dayang akan mempersembahkan kesemua lagu yang terkandung di dalam album baru. Budiey dikhabarkan tiket sudah habis terjual dalam masa yang sangat singkat.
Album ini telah dilancarkan secara digital pada 7 April lalu dan berjaya menjuarai carta iTunes dan top 10 Spotify Malaysia selain meraih sambutan luar biasa di Singapura dan Brunei. Album Dayang Nurfaizah mula dijual di semua kedai muzik dengan harga RM29.90.