Pelakon Angelina Jolie dilaporkan menyekat panggilan yang dibuat suaminya, Brad Pitt sejurus selepas dia memfailkan perceraian terhadap aktor itu minggu lalu.
Daily Mail melaporkan Angelina tidak mahu berhubung dengan Brad dalam apa cara sekali pun kerana kecewa dengan lelaki itu.
“Angelina bukan sahaja menyekat panggilan tetapi pesanan ringkas dan nombornya,” kata sumber.
Sebelum ini Brad dilaporkan kecewa apabila Angelina memfailkan perceraian terhadapnya namun memberitahu agar diberi ruang privasi terutama kepada anak-anak mereka.
“Brad benar-benar terkejut dan tidak pernah menyangka Angelina akan bertindak seperti itu kerana langsung tidak diberi amaran untuk bersedia.
“Dia sangat kecewa dengan Angelina namun kekuatannya kini adalah anak-anaknya,” kata sumber itu lagi.
Angelina memfailkan perceraian terhadap Brad pada 19 September lalu.
Mereka mempunyai enam anak bersama iaitu Maddox, 15, Pax, 12, Zahara, 11, Shiloh, 10, dan pasangan kembar Knox dan Vivienne yang kini berusia lapan tahun.
Sumber: Mstar Online