Penyanyi Ameng Spring terkejut dan kecewa apabila namanya secara tiba-tiba digugurkan daripada membuat persembahan dalam satu siri program jelajah di Kelantan.
Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, berkata, dia tidak diberitahu secara terperinci sebab utama mengapa dilarang untuk menyanyi di negeri berkenaan.
“Saya sepatutnya ikut jelajah Suria FM di AEON Mall, Kota Bharu Sabtu ini dan mereka sudah bayar tiket dan penginapan di sana, malangnya semalam pihak Suria FM hubungi saya dan beritahu tentang hal ini.
“Saya diberitahu boleh datang jumpa peminat tapi tidak dibenarkan untuk menyanyi.”
Ameng ditemui pada sidang media Konsert Tiga Suara yang diadakan di Istana Budaya, di sini, pada Khamis.
Penyanyi lagu Romantis ini kecewa jika larangan yang dilakukan itu adalah disebabkan status dirinya sebagai bekas banduan.
Katanya, pihak kerajaan sepatutnya bertanggungjawab memberi peluang dan menerima bekas banduan untuk berada dalam masyarakat semula.
“Saya sedih mengapa saya tidak dibenarkan menyanyi sedangkan saya lelaki dan bukan berpakaian seksi macam wanita, saya fikir mungkin sebab saya bekas banduan dan bekas penagih dadah.
“Sepatutnya mereka galakkan untuk orang-orang macam kami ini berhadapan dengan masyarakat bukan membuang kami.
“Tidak mengapalah, saya anggap ia sebagai ujian, walaupun saya tidak menyanyi, saya akan datang memeriahkan majlis itu ujarnya.
Bagaimanapun, Ameng turut berasa hairan apabila dia menerima tawaran untuk menyanyi di istana negeri itu penghujung tahun ini.
“Saya pelik juga, kenapa kerajaan tempatan di sana tidak beri saya nyanyi di khalayak, walhal saya ada undangan dari pihak istana di sana November depan,” ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang Konsert Tiga Suara, Ameng berkata dia kini sedang membuat persiapan daripada segi penjagaan kesihatan yang cukup.
Katanya, ia merupakan peluang terbaik untuk dia kembali semula menyanyi di pentas besar seperti Istana Budaya.
“Datuk Jamal jumpa dan pelawa saya untuk menyanyi di konsert ini ketika saya masih berada dalam penjara lagi. Saya sunggun terharu dan tidak akan menghampakan usaha beliau.
“Saya akan bawa beberapa buah lagu termasuk lagu-lagu Jamal dan Zamani. Memang agak gementar bila diminta untuk nyanyi lagu penyanyi lain,” ujarnya.
Konsert Tiga Suara akan diadakan bermula 22 hingga 25 September depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Selain Ameng, konsert tersebut turut menampilkan Datuk Jamal Abdillah dan Zamani, selain penyanyi undangan Jamilul Hayat.