Pelakon Afiq Muiz, 27, mengakui selamat bernikah dengan gadis pilihannya yang juga artis baharu, Pachara Apin atau nama sebenarnya, Nur Aaira Mahdeya, 28, petang semalam iaitu pada pagi Selasa, tanggal 26 Mac 2019.
Afiq atau Muhammad Afiq Muiz Azman memberitahu, majlis pernikahan mereka berlangsung secara sederhana di sebuah masjid di Bangi, Selangor.
Majlis berkenaan diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat saja.
Pelakon berkenaan tak mahu mengulas lanjut tentang pernikahan mereka buat masa ini.
“Benar saya sudah bernikah pagi tadi (Selasa)… Selebihnya nanti saya kongsi kerana buat masa sekarang tidak sesuai,”
“Alhamdulillah, semua perancangan kami berjalan dengan baik. Kami mula berkawan setahun lalu, seterusnya bertunang enam bulan kemudian.
“Aaira membuka pintu hati saya untuk memulakan fasa baharu dalam hidup. Secara jujur, saya tidak menyangka niat suci kami dipermudahkan, memandangkan tempoh perkenalan kami agak singkat,”
– Afiq Muiz
Dalam satu majlis akad nikah, Afiq bergelar suami dengan sekali lafaz dan pihaknya menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada pengantin perempuan.
Antara rakan artis yang menghadiri majlis akad nikah kedua-dua mempelai ialah aktor Beego dan Syafie Naswip.
Afiq ada memuatnaik foto penikahannya itu dan menulis caption:
“My wife Alhamdulillah”
– IG Afiq Muiz
Di laman Ig milik Pachara Apin, isteri kepada Afiq Muiz ada memuatnaik beberapa insta story tentang pernikahan mereka berdua.
Pernikahan Afiq mula diperkatakan apabila pelakon drama, Memori Cinta Suraya dan Awak Sangat Nakal itu berkongsi foto hari bahagianya di Instagram, pagi tadi.
Pasangan itu kelihatan manis menggayakan pakaian sedondon berwarna krim lembut. Berita perkahwinan mereka nyata mengejutkan ramai, memandangkan Afiq tidak pernah berkongsi hal peribadinya kepada umum.
Afiq berkata, dia sengaja tidak menghebohkan perancangannya untuk bernikah sehingga mereka selamat disatukan.
Bersyukur dipertemukan dengan wanita yang dicintai sepenuh hati, Afiq berkata, dia terpikat dengan Aaira yang disifatkannya memiliki personaliti hebat.
“Dia sangat penyayang dan bijak, malah kami mempunyai banyak persamaan. Mungkin itu yang dikatakan jodoh. Sejurus selesai dinikahkan, ketika bersalam dengan ibu, saya tidak dapat menahan air mata.
“Ketika itu, saya terfikir tanggungjawab baharu yang akan saya pikul. Di bahu saya kini tergalas tanggungjawab berat untuk menerajui dan memimpin keluarga.
“Saya percaya, setiap lelaki mempunyai perasaan sama apabila selesai diijabkabulkan. Doakan kebahagiaan perkahwinan kami hingga akhir hayat,”
– Afiq Muiz
Sementara itu pelakon Syafie Naswip pula bakal menjadi adik ipar kepada Afiq Muiz apabila dia akan mengikat tali pertunangan dengan Aishah Azman pada 7 April depan.
Tahniah diucapkan buat Afiq Muiz dan juga Pachara Apin.