Setiap kali tibanya lebaran, pastinya ramai yang teruja untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Tidak hanya meneruskan budaya kunjung mengunjungi, ada antara keluarga yang mengambil kesempatan untuk menonton televisyen bersama yang tersayang.
Dan saban tahun juga, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah gagal menyiarkan filem-filem terbaik industri seni untuk hiburan penonton setia salurannya bermula sejak hari raya pertama lagi.
Tahun ini RTM menerusi saluran TV2 memilih tayangan empat filem termasuklah “Ola Bola” (15 Jun 2018, pukul 10.30 malam), “Polis Evo” (16 Jun 2018, pukul 8.30 malam), “Train to Busan” (17 Jun 2018, pukul 10.30 malam) dan “Bo-Peng” (22 Jun 2018, pukul 2.00 petang).
Menambah semarak kehangatan Piala Dunia 2018 yang bermula 14 Jun depan, RTM menayangkan filem “Ola Bola” berrtemakan sukan arahan Chiu Keng Guan dan dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae, Taufiq Hanafi dan Frankie Lee. Filem ini mengisahkan mengenai kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.
Tarikan filem “Polis Evo” yang dibintangi Shaheizy Sam dan Zizan Razak sejak 2015 masih berbahang. Ia merupakan sebuah filem aksi komedi arahan Ghaz Abu Bakar. Selain Shaheizy Sam, dan Zizan Razak, turut berlakon dalam filem ini seperti Nora Danish, Hushairi Husain, Mimi Ernida, Harun Salim Bachik, Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Azliyuszaini dan Amerul Affendy. Filem ini mengisahkan dua anggota polis, Inspektor Khai dan Inspektor Sani yang mempunyai perwatakan yang sangat berlainan tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.
Penggemar filem Korea pula usah ketinggalan menyaksikan tayangan filem thriller tahun 2016 “Train to Busan” arahan Yeon Sang-ho yang dibintangi oleh Gong Yoo, Jung Yu-mi dan Ma Dong-seok.
Ia mengisahkan Seok-Woo ialah seorang pengurus dana yang telah bercerai. Dia obses dengan kerjanya dan jarang meluangkan masa bersama anaknya, Soo-an. Untuk harijadinya, Soon-an mahu bapanya membawanya ke Busan untuk melawat ibunya. Pada keesokan harinya, mereka menaiki keretapi KTX di Seoul. Sebelum berlepas dari Stesen Seoul, seorang wanita dengan luka gigitan di kakinya menaiki keretapi tersebut. Wanita itu kemudiannya bertukar menjadi zombi dan menyerang seorang pekerja keretapi yang kemudiannya juga bertukar menjadi zombi. Jangkitan itu merebak dengan pantas di dalam keretapi tersebut. Seok-woo, Soo-an dan penumpang-penumpang lain perlu menyelamatkan nyawa mereka di dalam keretapi yang bergerak itu.
Akhir sekali saksikan filem “Bo-Peng” arahan Helmi Yusof yang mengadunkan elemen suspens triler dengan jenaka yang pastinya membuatkan anda sekeluarga terhibur dengan dua watak utama lakonan Johan Asa’ri dan Nabil Ahmad ini. Filem ini turut dibintangi oleh Soffi Jikan, Fauzi Nawawi, Along Ezandy, Wanna Ali, Kila Fairy dan Juzzthin termasuk Ellie Suriaty dan Radhi Khalid.
Kisahnya tentang Bo-Peng bersahabat baik dan bekerja di tempat yang sama iaitu Opiel Secrets Pizza selaku mengambil pesanan dan menghantar pesanan pizza. Dipendekkan cerita, Peng mempunyai kekasih yang dikenali menerusi Facebook iaitu Mira Edora Senrose.
Namun, Peng dan Mira Edora Senrose tidak pernah bersua muka dan hanya berbual mesra serta manja dalam telefon sahaja. Pada satu hari, Mira telah diculik oleh penculik bersiri ketika berbual dengan Peng sehingga menyebabkan keadaan menjadi huru hara.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.