Pada jam 7 malam tadi (17 April 2010), penyanyi Achik Spin atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari, berusia 28 tahun diberitakan telah meninggal dunia dalam sebuah kemalangan ngeri berhampiran Perhentian Nilai, PLUS iaitu di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas).
Achik Spin dalam perjalanan pulang dari bersiaran langsung di RTM untuk program Hits1 pada petang tadi.
Achik yang menumpang kereta sahabatnya menaiki kereta MPV Toyota Estima dikatakan terbabas dan melanggar papan tanda di lebuhraya. Arwah tersepit di dalam kereta yang terbakar. Nasib menyebelahi kawannya yang sempat merangkak keluar dari kereta.
Menurut sumber lain, arwah Achik sebenarnya tidak tersepit. Ini kerana arwah berjaya dan sempat diselamatkan oleh saksi mata di tempat kejadian. Tapi ketika itu, kereta tersebut belum meletup & terbakar lagi. Arwah meninggal bukan kerana rentung terbakar tetapi kecederaan di kepala yang sangat serius.
Video rakaman sempat diambil ketika kejadian berlaku. Sangat mengerikan dan minta Tuhan jauhkan.
Jam 8 malam, polis dan anggota bomba masih lagi berada di lokasi nahas dan difahamkan mayat Allahyarham akan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini malam ini.
Keluarga Allahyarham berada di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Polis (ASP) Abd. Halil Abd. Hamzah mengesahkan kejadian tersebut.
Vokalis Spin ini dikenali ramai dengan lagu Paling Comel berduet dengan penyanyi sekampungnya, Siti Nordiana atau Nana.
Achik Spin bernikah dengan Tasha atau nama sebenarnya HM Rosezaitul Suriani Wati pada 18 November 2005. Pada 9 Januari 2007, Tasha selamat melahirkan Putri Rania di Hospital Tunku Jaafar, Seremban. Namun, anak sulongnya itu meninggal dunia kerana dijangkiti penyakit derita demam panas selama seminggu dan disyaki mempunyai masalah dengan usus dalam perut.
Budiey ingin mengucapkan salam takziah buat seluruh famili Allahyarham.
Al-Fatihah. Semoga allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Nampaknya, tahun 2010 menyaksikan ramai sekali insan seni yang telah pergi meninggalkan dunia untuk mengadap Allah Yang Maha Esa.